Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelanjutan sesi persekolahan pastikan pelajar lebih bersedia

    KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melanjutkan sesi persekolahan 2021 hingga Februari tahun depan, mencetuskan polemik dalam kalangan pihak berkepentingan, khususnya ibu bapa.

    Ini kerana berdasarkan keputusan itu, semua pelajar akan kekal dalam darjah atau tingkatan masing-masing pada Januari dan Februari tahun depan, dan hanya dibenarkan naik ke peringkat seterusnya bermula Mac 2022.

    Difahamkan lanjutan sesi persekolahan itu bagi membolehkan guru menilai tahap penguasaan pelajar, khususnya yang berdepan kesukaran mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan akibat penularan COVID-19. 

    Langkah itu juga bertujuan memastikan pelajar bersedia sepenuhnya untuk naik kelas.

    Bagaimanapun bagi ibu bapa,  keputusan tersebut akan menyebabkan anak mereka menjadi ‘tua’ atau ketinggalan dari segi usia berbanding generasi terdahulu yang persekolahannya bergerak seiring dengan umur mereka, khususnya bagi murid tahun enam yang akan meneruskan persekolahan di peringkat menengah. 

    Pemeriksaan suhu badan para pelajar perlu dilakukan sebelum dibenarkan masuk ke kawasan sekolah. – Bernama
    Para pelajar memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober lalu. – Bernama
    Pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Bity Salwana Alias. – Bernama
    Para pelajar SMK Seri Pagi dilihat ceria semasa memasuki pekarangan sekolah bagi memulakan sesi persekolahan. – Bernama

    Tindakan rasional KPM

    Mengulas isu berkenaan, pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Bity Salwana Alias berkata tindakan KPM itu adalah rasional bagi memastikan pelajar benar-benar bersedia untuk beralih ke peringkat seterusnya.

    Beliau berkata keputusan itu juga berperanan sebagai  ‘wake-up call’ atau peringatan kepada pelajar yang sebelum ini cukup selesa dengan ‘cuti sekolah yang panjang’ (belajar di rumah), sehingga ada yang langsung tidak risau dengan masa depan mereka kerana leka dengan “kebebasan” yang dikecapi menerusi PdPR.

    “Namun ada juga pelajar yang sukar mengikuti PdPR disebabkan tidak dapat menyesuaikan diri dengan kaedah tersebut. Ini disebabkan beberapa kekangan seperti peralatan dan suasana kurang kondusif untuk PdPR, sekali gus membuatkan pelajar berputus asa.

    “…dan jika kita lihat, berapa ramai pula pelajar yang betul-betul tekun  hadiri  kelas PdPR? Ada yang kononnya hadir tetapi sebenarnya berselindung di sebalik nama atau gambar profil masing-masing sehingga akhirnya mungkin hanya tinggal beberapa pelajar sahaja (yang mengikuti pembelajaran) sampai habis kelas,” katanya kepada Bernama.

    Ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan guru yang perlu mengulangi silibus subjek tertentu hingga Februari depan, beliau berkata perkara tersebut bukan satu kemestian apabila sesi persekolahan dilanjutkan.

    Sebaliknya kata beliau, guru  boleh menggunakan tempoh itu untuk membuat penilaian dan pengujian terhadap keberkesanan PdPR yang dijalankan oleh mereka sebelum ini.

    “Masa lanjutan ini boleh digunakan guru untuk membuat aktiviti pengukuhan dan pengayaan terhadap pelajar masing-masing.

    “Selain itu, guru juga boleh menguji pelbagai kaedah pengajaran baharu yang mampu membantu meningkatkan kecemerlangan pengetahuan, kemahiran, sahsiah serta kokurikulum pelajar,” katanya.

    Beliau juga yakin para guru akan dapat menerapkan pendekatan pengajaran baharu yang lebih berinovasi hasil daripada pengalaman mereka semasa pelaksanaan PdPR yang menyaksikan pelbagai pendekatan pengajaran berasaskan teknologi digunakan.

    “Walaupun ada pelanjutan sesi persekolahan, hakikatnya saya pasti pelajar lebih memilih untuk segera kembali ke sekolah dan belajar bersemuka bersama guru seperti biasa.

    “Ini kerana, murid mungkin mengalami kesukaran untuk memahami pengajaran dan pembelajaran dari rumah yang sekadar bergantung pada penjelasan guru menerusi peranti semata-mata, menyebabkan ada pelajar yang pencapaiannya menjadi lebih rendah… kita tidak mahu kumpulan pelajar ini terus ketinggalan,” katanya.

     Demi kelangsungan pendidikan

    Bity Salwana berkata KPM telah membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum membenarkan pelajar kembali ke sekolah, sekali gus menjamin kelangsungan pendidikan generasi masa hadapan  negara.

    Perumpamaan “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” dan “ditelan mati emak, diluah mati bapa”, barangkali tepat untuk menggambarkan dilema KPM sebelum ia memutuskan untuk membuka semula sekolah secara bersemuka serta melanjutkan sesi persekolahan semasa hingga Februari tahun depan.

    “KPM telah membuat pertimbangan dengan mengambil kira semua aspek, yang mana antara tindakan itu bertujuan memenuhi keperluan dan hak semua pelajar dalam mendapatkan pendidikan berkualiti, dan pada masa sama melindungi guru dan pelajar daripada ancaman COVID-19,” katanya.

    Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Mohd Alif Anas Md Noor menyifatkan pelanjutan sesi persekolahan tersebut sebagai satu anjakan paradigma bagi sistem pendidikan negara dan amat relevan sekiranya diteruskan untuk tahun-tahun akan datang. Beliau berkata pelanjutan sesi persekolahan itu adalah satu pembaharuan positif oleh KPM dan  wajar diterima baik oleh semua pihak.

    “Kalau kita teliti, sebenarnya cadangan melanjutkan sesi persekolahan yang dibuat hingga Februari depan amat bagus. Ini kerana ia bukan terhad untuk situasi COVID-19 sahaja tetapi turut memberi manfaat kepada keseluruhan sistem pendidikan negara sekiranya langkah tersebut diteruskan.

    “Jika sebelum ini, pada Januari setiap tahun, pelajar akan memulakan sesi persekolahan baharu, tetapi tidak salah pun untuk kita tukar takwim persekolahan… ini kerana, untuk pelajar di negeri-negeri pantai timur, mungkin agak sukar (bagi mereka) memulakan sesi persekolahan awal tahun kerana kebanyakan mereka terlibat dengan bencana banjir,” katanya. Beliau juga berpandangan pelanjutan itu memberi masa yang cukup kepada ibu bapa atau penjaga untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak termasuk mereka yang menjadi mangsa banjir.

    Bagaimanapun kata Mohd Alif Anas, ada baiknya KPM menambah baik takwim persekolahan supaya sesi persekolahan dan cuti sekolah dapat diseimbangkan.

    “Sebenarnya tidak ada alasan untuk kita tidak boleh terima langkah KPM tersebut, sebab semuanya boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian, dan untuk pelajar tahun ini juga saya tidak rasa pelajar akan mengalami kelesuan belajar hingga Februari nanti… apa yang penting, guru perlu memainkan peranan supaya pelajar yang lemah boleh dibaiki pencapaiannya dalam tempoh tersebut,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda