Pelantikan ahli baharu MPP UBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini, telah melantik ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2020/2021 pada majlis yang diselajurkan dengan pembubaran MPP 2019/2020 di Inspiring Hall, Pusat Pelajar UBD.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan pembubaran dan pelantikan MPP ialah Pembantu Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran) UBD, Hajah Rubiah binti Haji Yacub.

Dekan Pelajar, Awang Saidai bin Haji Hitam dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan proses pemilihan ahli-ahli MPP dan menyampaikan penghargaan kepada semua pegawai dan pelajar UBD yang terlibat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada bekas ahli MPP atas khidmat cemerlang dan sumbangan mereka kepada Persatuan Mahasiswa UBD (PMUBD) sebelum mengucapkan tahniah kepada pemimpin-pemimpin yang baru dilantik. Beliau menyatakan harapan agar mereka akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan fokus, mencapai misi PMUBD dan menunjukkan kualiti sebanding dengan universiti-universiti global.

Hajah Rubiah dalam ucapannya pula memuji MPP 2019/2020 atas kepimpinan cemerlang mereka sebalik cabaran-cabaran yang datang akibat pandemik COVID-19. Beliau mengharapkan bahawa kemahiran dan pengalaman yang diperolehi semasa menjadi ahli MPP akan berguna selepas meninggalkan universiti.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan ahli-ahli baharu untuk memahami sepenuhnya peranan mereka serta mendapatkan nasihat daripada bekas ahli MPP jika diperlukan. Pada majlis itu, bekas ahli-ahli MPP menerima tanda penghargaan sebelum pengenalan rasmi dan seterusnya penyampaian surat pelantikan kepada ahli-ahli baharu yang diikuti dengan acara mengangkat sumpah.

Awang Muhammad Alaf bin Haji Redawan yang dilantik sebagai presiden MPP buat tahun kedua berturut-turut juga menyampaikan ucapan. Kenyataan menyatakan, pemilihan MPP diadakan setiap tahun dan calon-calon telah menyertai kursus kepimpinan selama empat hari pada Disember 2020. Kursus berkenaan antara lain merangkumi pengenalan kepada fungsi Bahagian Hal Ehwal Pelajar, PMUBD dan MPP, prosedur pentadbiran dan aktiviti-aktiviti membangun pasukan. Pelantikan 17 jawatan MPP juga telah diadakan semasa kursus berkenaan.

Ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2020/2021 yang baru dilantik bergambar ramai. – Gambar serahan Universiti Brunei Darussalam