Pelantikan ahli jawatankuasa baharu PPBNBD

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Persatuan Pengadil Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (PPBNBD) telah mengadakan mesyuarat agung bagi pelantikan ahli jawatankuasa sesi 2020-2022 di Dewan Serba Guna Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (NFABD) kelmarin.

Semasa mesyuarat tersebut, Awang Haji Hamidon bin Haji Mohd Zain telah dilantik menjadi presiden persatuan sementara Haji Rozyman Aidit bin Haji Ibrahim telah dilantik sebagai timbalan presiden I manakala Pengiran Haji Aliudin bin Pengiran Haji Tajudin dipilih sebagai timbalan presiden kedua. Ahli-ahli yang menjawat jawatan penting termasuk Awang Mohd Amir bin Haji Yunos dilantik sebagai setiausaha agung, Awang Mohd Yusof Zaki bin Haji Mohd Serudin sebagai timbalan setiausaha agung, Awang Hadimin bin Haji Shahbuddin sebagai bendahari agung dan Awang Sujairi bin Abdullah sebagai timbalan bendahari agung.

Mesyuarat dimulakan dengan penjelasan ringkas mengenai laporan aktiviti PPBNBD sepanjang tempoh 2018 hingga 2020 daripada setiausaha agung.

Ini diikuti dengan tinjauan laporan kewangan khas daripada bendahari agung. Acara diteruskan dengan pembubaran eksekutif dan ahli jawatankuasa 2018 hingga 2020.

Ahli-ahli eksekutif dan jawatankuasa yang baru dilantik bagi sesi 2020 hingga 2022 bergambar ramai semasa mesyuarat agung PPBNBD.