Pelantikan AJK Belia Da’ie baharu

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Dalam usaha membantu ahli-ahli jawatankuasa baharu untuk saling mengenali dan menjalin-kan kerjasama di antara ahli-ahli bagi memudahkan segala urusan mereka nanti, satu bengkel dan kursus motivasi telah diadakan semasa Majlis Pembubaran dan Pelantikan Ahli-ahli Jawatankuasa Belia Da’ie bagi sesi 2019/2021, di Dewan Persidangan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) di Kampung Pulaie.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Majlis pada pagi itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Penolong Pengerusi Belia Da’ie sesi 2019/2021, Awang Muhammad Iman bin Abdullah Haji Ibrahim, diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada mantan Pengerusi Belia Da’ie bagi sesi 2017/2019, Awang Ahmad Rashidi bin Haji Asnawi, diikuti dengan penyerahan fail Belia Da’ie kepada pengerusi baharu Belia Da’ie sesi 2019/2021, Awang Mohammad Fikri Fathuddin bin Assokan.

Acara diteruskan dengan sesi pembubaran ahli Jawatankuasa Belia Da’ie sesi 2017/2019 dengan penyerahan sijil penghargaan, yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis, yang juga berkesudian menyampaikan surat pelantikan kepada ahli Jawatankuasa Belia Da’ie sesi 2019/2021 baharu.

Awang Mohammad Fikri Fathuddin selaku pengerusi Belia Da’ie sesi 2019/2021 kemudian memberikan uca-pan beliau dan seterusnya mengetuai bacaan ikrar.

Bengkel Ujian Personaliti yang turut diadakan semasa majlis tersebut dikendalikan oleh Alumni Universiti Brunei Darussalam, manakala satu kursus motivasi bertajuk ‘Kenapa Saya di Sini’ dikendalikan oleh pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Hajah Ummi Faizah binti Haji Abdul Rahman.

Haji Abdul Rajid bergambar ramai bersama belia-belia da’ie yang baharu dan lama.