Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Majlis Perundingan Mukim (MPM) Kota Batu telah mengadakan Majlis Pembubaran Ahli Jawatankuasa (AJK) MPM Kota Batu sesi 2012-2017 dan melantik AJK sesi 2017-2022 yang berlangsung di Bilik Persidangan, Mangrove Paradise Resort, di sini, hari ini.
Hadir bagi mempengerusikan majlis ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis.
Turut hadir ialah ketua-ketua kampung dan pemangku ketua kampung di kawasan Mukim Kota Batu serta ahli-ahli jawatankuasa yang dilantik.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan ucapan daripada Yang Berhormat Awang Naim.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan mesyuarat yang membincangkan mengenai laporan, perkara-perkara yang berbangkit, pembubaran AJK MPM Kota Batu, pemilihan Jawatankuasa MPM Kota Batu yang baru sesi 2017-2022 dan rancangan aktiviti-aktiviti Mukim Kota Batu bagi tahun 2017.
Dari Buku Rancangan Aktiviti Mukim Kota Batu, pelbagai aktiviti yang telah dan akan adakan, antaranya mesyuarat-mesyuarat, lawatan kerja, majlis menaikkan bendera, penglibatan dalam majlis-majlis tahunan negara dan pelbagai lagi.
Menurut salah seorang ahli jawatankuasa MPM Kota Batu, hasil daripada permesyuaratan berkenaan, laporannya akan disampaikan ke Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

