Monday, March 17, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelantikan MMN satu amanah besar

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 13 Jan – Dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang baru merupakan satu tanggungjawab yang besar bagi mereka, terutama dalam menyampaikan sumbangan dan memberikan buah fikiran, pandangan serta cadangan-cadangan yang menjurus ke arah kemajuan negara sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, keagamaan dan isu-isu sosial yang berkaitan demi mencapai Wawasan Negara 2035.

    Perkara tersebut dinyatakan oleh salah seorang ahli MMN yang baru dilantik dari Daerah Tutong, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya ketika ditemu bual Media Permata, pagi tadi.

    Yang Berhormat Haji Abdul Wahab menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memperkenankan lantikan dan memberikan kepercayaan kepada beliau selaku ahli MMN yang baru bermula hari ini.

    Menurutnya, beliau merasa terperanjat dan tidak percaya atas lantikan itu dan berkata, ia merupakan satu tanggungjawab yang besar dan berharap beliau akan dapat membantu memberikan buah fikiran dan cadangan-cadangan menjurus ke arah kemajuan negara sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, keagamaan dan isu-isu sosial yang berkaitan khususnya bagi membantu penduduk Daerah Tutong.

    Katanya lagi, beliau akan menjadi penghubung iaitu lidah bagi menyampaikan pandangan, nasihat dan juga buah fikiran untuk dihadapkan kepada pihak berkenaan nanti.

    Yang Berhormat Haji Abdul Wahab dilantik sebagai ahli MMN yang baru.
    Yang Berhormat Haji Abdul Wahab dilantik sebagai ahli MMN yang baru.

    “Mana-mana isu yang dapat dibincangkan khususnya bagi penduduk Daerah Tutong dan orang ramai, dapatlah dihadapkan untuk di masa-masa akan datang nanti,” ujar beliau yang pernah berkhidmat di Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu di Pengajian Islam dan Jabatan Hal Ehwal Masjid sejak 1966 hingga 2005 dan menjawat jawatan Penghulu Mukim Tanjong Maya sejak tahun 2006.

    Selaku ahli yang baru dilantik, beliau memohon kerjasama orang ramai, para penghulu dan ketua-ketua kampung serta pegawai Daerah Tutong dan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan yang lain supaya dapat berbincang dan sentiasa bersikap terbuka.

    Mengulas mengenai lantikan golongan muda ke dalam MMN, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab menyatakan perasaan bangga dan seterusnya mengucapkan tahniah kepada mereka.

    Menurutnya, pelantikan tersebut dapat memperlihatkan negara telah bergerak ke hadapan yang mana sebelum ini, ahli-ahli MMN terdiri daripada golongan orang-orang tua dan berpengalaman dan berharap belia-belia yang dilantik ini akan dapat mendengar suara, rintihan dan harapan golongan belia dari negara kita.

    Seorang lagi ahli MMN baru yang sempat ditemu bual, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana dikurniakan lantikan baru sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini.

    Yang Berhormat Haji Umarali menyatakan harapan agar lantikan tersebut akan dapat menjadikan beliau sebagai mata, telinga dan lidah penduduk kampung khususnya di Daerah Tutong dan orang ramai yang akan dapat mengubah kehidupan serta memberikan pencapaian kemajuan kepada penduduk kampung mengikut suasana dan keadaan pada masa ini.

    Yang Berhormat Haji Umarali yang baru dilantik sebagai ahli MMN.
    Yang Berhormat Haji Umarali yang baru dilantik sebagai ahli MMN.

    Beliau berharap akan dapat mengetahui masalah-masalah anak-anak buah kampung yang dapat dihadapkan serta yang akan dapat diusahakan. Di samping itu, beliau juga berharap anak-anak buah kampung atau penduduk Daerah Tutong akan dapat menghormati keputusan dan membuka minda terhadap keputusan dan keadaan pada masa ini.

    Dalam pada itu, beliau menyuarakan komitmen untuk menunaikan tanggungjawab tersebut dengan baik demi kemajuan rakyat dan negara yang berpandukan kepada Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan Negara Zikir.

    Mengenai lantikan ahli-ahli MMN terdiri daripada golongan belia, beliau berpendapat ia adalah sesuai dengan keperluan negara yang mana belia-belia muda merupakan golongan yang kuat dan bersemangat.

    Beliau mengingati para belia supaya akan dapat menghormati orang tua dan golongan atas itu nanti bila mencadangkan sesuatu isu serta sentiasa memberikan kerjasama dan menerima nasihat untuk kebaikan kepada belia-belia yang lain.

    Nasihatnya lagi, mereka itu diharap akan dapat menunjukkan budi bahasa dan tingkah laku yang baik agar dapat menjadi contoh dan tauladan yang terbaik buat belia-belia pada masa akan datang.

    “Dengan adanya lantikan ini kepada para belia, ia akan dapat membimbing para belia yang lain untuk memajukan serta memperkembangkan negara ke arah yang lebih baik, sesuai dengan Falsafah MIB dan Negara Zikir yang diharapkan oleh Baginda Sultan,” tambah beliau.

    Yang Berhormat Haji Umarali pada masa ini masih lagi memegang peranan sebagai Penasihat Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang, Penasihat Badan Kebajikan Saudara-saudara Baru Kiudang Mungkom (BASKIM), Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang dan seterusnya menjadi ahli Jawatankuasa Persatuan Saudara-saudara Baru Daerah Tutong (PESATU).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda