Pelantikan pesuruhjaya tinggi British baharu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam memaklumkan bahawa United Kingdom telah melantik John Virgoe sebagai pesuruhjaya tinggi British ke Negara Brunei Darussalam yang baharu di mana beliau akan mula bertugas dalam jawatan berkenaan pada Ogos 2020.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, John Virgoe akan menggantikan Tuan Yang Terutama Richard Lindsay yang telah berada di Negara Brunei Darussalam sejak 2017.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa sebelum pelantikannya, John Virgoe berkhidmat sebagai ketua jabatan bagi Asia Tenggara di Pejabat Luar Negeri dan Komanwel di London. Sebelum itu, beliau merupakan ketua Unit Pencegahan Rasuah Bersama bagi Pejabat Kabinet.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa John Virgoe mempunyai kerjaya panjang dan terbilang dalam diplomasi, di mana beliau menyertai Pejabat Luar Komanwel pada 1995. Beliau mempunyai pengalaman yang luas di Asia Tenggara, pengurusan krisis, perubahan iklim dan ekonomi serta merupakan bekas timbalan wakil tetap ke Program Alam Sekitar Bangsa-bangsa Bersatu dan UN-Habitat.

Pelantikannya ke Negara Brunei Darussalam merupakan penempatan jawatannya keempat di luar negara di mana sebelum ini, beliau telah ditempatkan di Jakarta, Nairobi dan Canberra.

John Virgoe yang dilantik sebagai pesuruhjaya tinggi British ke Negara Brunei Darussalam akan memulakan tugas bagi jawatan berkenaan pada Ogos nanti. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam