Pelarian bimbang berhubung pelan penempatan Australia-AS

SYDNEY, 16 Julai – Pemergian pegawai Amerika dari kem pelarian pulau Pasifik Australia telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pencari suaka bahawa rancangan untuk menempatkan mereka di Amerika Syarikat (AS) tidak mungkin diteruskan, kata satu kumpulan aktivis hari ini.

Canberra menghantar pencari perlindungan yang cuba memasuki Australia dengan bot ke kem di Nauru dan pulau Manus di Papua New Guinea, namun keadaan di sana telah dikritik oleh penyokong pelarian dan profesional perubatan.

Kerajaan Australia mencapai satu perjanjian dengan Washington di bawah bekas presiden Barack Obama untuk menempatkan semula beberapa pelarian di AS.

Namun keraguan berhubung pengaturan tersebut telah berlarutan selepas Presiden Donald Trump pada tahun ini dilaporkan mengecam rakan sejawatan Australia Malcolm Turnbull ketika satu panggilan telefon dan membidasnya sebagai “perjanjian bodoh,” sebelum bersetuju untuk meneruskan dengan cadangan tersebut.

Pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negara AS telah menilai pencari suaka di Nauru sebagai sebahagian daripada pengaturan apabila mereka meninggalkan pulau secara tiba-tiba pada Jumaat dan Sabtu, kata jurucakap Gabungan Tindakan Pelarian Ian Rintoul, beberapa hari selepas AS meluluskan had maksimum penerimaan 50,000 pelarian setahun.

“Mereka (pegawai DHS) tidak memberikan petunjuk kepada penduduk di Nauru bahawa mereka akan kembali,” beritahu Rintoul kepada AFP.

Kira-kira 200 pelarian di Nauru telah menjalani temu duga dan pemeriksaan perubatan, sementara di Manus, kira-kira 70 orang telah menjalani proses yang sama, kata Rintoul.

“Orang menjadi semakin ragu-ragu sama ada terdapatnya sebarang perjanjian,” tambah beliau.

Menteri Luar Australia Julie Bishop berkata hari ini beliau yakin perjanjian masih wujud, menambah “isu tersebut masih wujud, menambah “isu tersebut sedang menunjukkan perkembangan seperti yang kami jangkakan.”

“Kami telah diberi jaminan oleh Presiden Trump dan Naib Presiden Pence dan orang lain, bahawa perjanjian akan dipatuhi,” beritahu Bishop kepada Australian Broadcasting Corporation.

“Dan kuota pelarian akan dikenakan sekali lagi pada 1 Oktober.” – AFP