Pelarian bot laju HK dihadapkan ke mahkamah

BEIJING, 25 DIS – Sekurang-kurangnya tujuh daripada 12 aktivis penyokong demokrasi Hong Kong ditahan ketika cuba melarikan diri menggunakan bot laju ke Taiwan dan akan dihadapkan ke mahkamah di China pada 28 Disember ini, menurut pekempen dan ahli keluarga mereka hari ini.

Peguam kerajaan China memaklumkan waris keluarga tujuh yang ditahan mengenai perbicaraan kes yang akan berlangsung di Mahkamah Rakyat Daerah Yantian, selatan Shenzhen.

Tujuh individu tersebut termasuk seorang remaja berusia 16 tahun, diberkas pasukan pengawal pantai ketika berada 70km di tenggara Hong Kong Rabu lalu sebelum diserahkan kepada polis.

Mereka berdepan tuduhan mendalangi cubaan merentas sempadan secara haram. Arahan penahanan kumpulan aktivis itu diluluskan pada September namun mereka bertindak menghilangkan diri ke China.

Waris keluarga salah seorang tertuduh, Andy Li, menerusi kenyataan di Twitter berkata, mereka dimaklumkan bahawa perbicaraan kes akan dijalankan pada Isnin depan.

“Seperti kes sensitif politik, jelas sekali mereka cuba menyegerakan perkara ini menjelang Hari Natal bagi mengurangkan pertikaian antarabangsa,” katanya. – AFP