AMMAN – Menyanyi dengan riang sambil memukul gendang, pelarian Syria yang menyelamatkan diri dari perang saudara mempersembahkan tarian tradisional ‘Arada’ di negara jiran Jordan, sebagai menghormati budaya asal mereka dan untuk memperoleh pendapatan tambahan.
Persembahan mereka, yang menampilkan jubah tradisional dan melambungkan pedang, telah menjadi semakin popular di Jordan untuk menandakan perayaan seperti perkahwinan dan pesta.
“Mereka menambah suasana kegembiraan pada perayaan kami,” kata Fahed Shehadeh, yang mengupah kumpulan tarian Bab al-Hara di ibu kota Amman untuk menandakan tamat pengajian dua anak lelakinya dari universiti.
“Saya orang Jordan tetapi berasal dari Syria, dan saya menjemput kumpulan itu kerana saya mengagumi kemahiran menari, muzik, pakaian dan lagu mereka,” kata Shehadeh, 55, meraikan bersama keluarga, rakan dan jirannya.
Arada yang bermaksud untuk ‘persembahan’ dalam Bahasa Arab secara tradisinya dilihat di majlis perkahwinan, di mana tarian ini mengubah suai lagunya agar sesuai dengan pelbagai perayaan.
Satu rombongan biasanya terdiri daripada 10 hingga 20 orang penari, memakai seluar hitam longgar, baju kapas putih, jaket bersulam, kopiah putih dan selendang yang dililit di pinggang.
Melambungkan pedang
Pedang dan perisai hiasan dipakai, dan tarian itu memuncak ketika ahli-ahli melambungkan bilah pedang mereka di udara, sebelum terlibat dalam upacara.
Ketua rombongan itu, Moutaz Boulad, 60, berkata Arada semakin popular di Amman, dengan acara harian pada musim panas dan beberapa majlis pertunangan setiap minggu pada musim sejuk.
Boulad, yang meninggalkan Syria pada 1988, berkata pertunjukan itu telah menjadi cara penting untuk mendapatkan wang bagi sesetengah pelarian yang menyelamatkan diri dari perang yang meletus pada 2011.
“Ada di antara penari yang tidak bagus ketika pertama kali datang kepada kami, tetapi mereka belajar daripada saya dan anak-anak saya untuk memperbaiki keadaan kewangan mereka,” katanya.
Perang Syria dianggarkan telah membunuh hampir setengah juta orang dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal, yang mana lebih 6.6 juta melarikan diri ke negara jiran Jordan, Turki dan Lubnan.
Jordan menerima hampir 650,000 rakyat Syria yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tetapi Amman menganggarkan hampir 1.3 juta rakyat Syria telah tiba sejak 2011.
PBB berkata bahawa hampir 80 peratus rakyat Syria di Jordan hidup di bawah garis kemiskinan negara, menjalani kehidupan dengan AS$3 sehari atau kurang. Boulad berkata penarinya datang daripada pelbagai latar belakang profesional.
“Kebanyakan penari mempunyai pekerjaan yang berbeza di samping Arada,” kata Boulad.
“Sesetengahnya adalah pelajar universiti, akauntan, pekerja restoran, tukang jahit dan juruelektrik tetapi ini adalah sesuatu yang dapat menjana sejumlah wang demi kelangsungan hidup.”
Bagi penari seperti Ahmed Abu Shadi, 43, yang melarikan diri dari Syria pada 2013 dan bekerja sebagai tukang paip, persembahan Arada membantunya membesarkan tiga anaknya.
“Bertugas sebagai tukang paip ada hari saya bekerja, dan ada hari tidak mempunyai pelanggan,” katanya.
“Untuk Arada, mereka membayar saya 15 dinar (AS$20) setiap kali saya ikut untuk menari. Walaupun ia adalah jumlah yang kecil, ia membantu dalam hidup saya.”
Identiti, warisan
Seorang lagi ahli, yang bekerja di makmal perubatan dan meminta namanya dirahsiakan, melarikan diri dari bandar Homs di Syria pada 2018.
Tarian itu membantu menambah kira-kira AS$300 setiap bulan kepada gaji tetapnya AS$700 dari makmal untuk menyara keluarganya, sementara mereka menunggu permohonan melalui agensi pelarian PBB untuk diproses.
“Saya telah memohon suaka melalui UNHCR dan berharap kami dapat memulakan kehidupan baharu di luar negara,” katanya.
Walaupun mengalami perpindahan dan cabaran kewangan, menari Arada kekal sebagai bahagian penting dalam kehidupan Ahmed Abu Shadi.
“Tarian ini adalah bahagian yang sangat penting dalam identiti Syria, warisan, budaya dan kehidupan seharian kami. Kami mesti memelihara dan mengajarnya kepada anak dan cucu kami,” katanya.
“Seni ini ada dalam darah saya, saya menyukainya, saya tidak dapat membayangkan diri saya, hidup saya tanpa ini.”
Dia berharap suatu hari nanti dapat menari lagi di tanah kelahirannya. “Saya akan terus menari ke mana sahaja saya pergi,” katanya.
“Tetapi sudah tentu, saya lebih suka keadaan bertambah baik satu hari nanti supaya semua boleh pulang ke negara kami, Syria.” – AFP