Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Pelarian Myanmar terperangkap di sempadan

    JAKARTA, INDONESIA, 7 APRIL – Wanita muda dari Myanmar dan keluarganya kini tinggal di tengah-tengah rumput tinggi di tebing sebatang sungai di sempadan Thailand, terperangkap antara sebuah negara yang tidak mahukan mereka dan sebuah negara yang tenteranya boleh membunuh mereka.

    Seperti beribu-ribu orang lain yang melarikan diri daripada keganasan meningkat selepas rampasan kuasa tentera di Myanmar, Hay meninggalkan kampungnya ke negara jiran Thailand untuk mendapatkan perlindungan yang tidak wujud. Kembali ke Myanmar akan menyebabkannya dan keluarganya berisiko mati.

    Namun, pihak berkuasa Thailand yang bimbang ia akan menjejaskan hubungan mereka dengan Myanmar, telah mengarahkan pelarian-pelarian ini kembali sekurang-kurangnya sekali seminggu, katanya.

    “Apabila mereka suruh kami balik, kami menangis dan menjelaskan kepada mereka kenapa kami tidak dapat pulang,” kata Hay, yang tinggal dalam sebuah khemah nipis di tebing Sungai Moei, yang memisahkan kedua-dua negara itu. The Associated Press tidak mendedahkan nama penuh Hay, selain nama-nama penuh pelarian lain yang disebutkan, untuk melindungi mereka daripada pembalasan oleh pihak berkuasa.

    “Kadangkala kami menyeberang balik ke sebelah sungai Myanmar. Tetapi saya langsung tidak pulang ke kampung,” ujarnya.

    Walaupun undang-undang pelarian antarabangsa melarang pemulangan orang ke negara di mana nyawa mereka mungkin terancam, Thailand tetap menghantar pulang beribu-ribu orang yang melarikan diri daripada keganasan oleh tentera Myanmar, menurut temu bual, bersama pelarian-pelarian, kumpulan bantuan dan pihak berkuasa Thailand sendiri.

    Tindakan itu telah menyebabkan Hay dan pelarian Myanmar lain berulang alik antara kedua-dua belah sungai berkenaan ketika pertempuran di kampung-kampung asal mereka menjadi sengit dan reda seketika.

    “Ini permainan ping-pong,” kata Sally Thompson, pengarah eksekutif The Border Consortium, yang menyediakan bantuan kepada pelarian Myanmar di Thailand.

    “Awda tidak boleh terus berulang alik merentasi sempadan. Awda perlu berada di satu tempat di mana ia stabil dan pada masa ini langsung tiada kestabilan di Myanmar,” katanya. – AP

    Orang yang dipindahkan dari Myanmar membawa makanan yang disumbangkan ke khemah mereka di sebelah Thailand tebing Sungai Moei di Mae Sot, Thailand pada 5 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...