Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Pelarian Palestin semakin sengsara ketika bantuan berkurangan

    RAMALLAH – Pelarian Palestin yang tinggal dalam kem di seluruh Tebing Barat berdepan mata pencarian yang semakin teruk apabila bantuan kemanusiaan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkurangan kerana dana tidak mencukupi.

    Di dalam kem Balata di Nablus, Sohad Hammouda tinggal di rumah seluas tidak lebih 50 meter persegi bersama 11 ahli keluarganya dan sentiasa khuatir akan berdepan kebuluran.

    “Pada masa lalu, saya sangat bergantung kepada bantuan yang diberikan oleh UNRWA, dari segi makanan dan sedikit wang, tetapi hari ini keadaan telah berubah, kerana mereka (UNRWA) telah mengurangkan bantuan yang pernah diberikannya kepada kami,” kata wanita berusia 50 tahun itu.

    Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) telah ditubuhkan pada tahun 1949 sebagai agensi PBB melalui resolusi Perhimpunan Agung untuk memberikan bantuan dan perlindungan kepada kira-kira 5.6 juta pelarian Palestin yang berdaftar dengannya di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Lubnan, Syria dan Jordan.

    Sebagai salah satu projek kemanusiaan tertua yang telah dimulakan oleh PBB, agensi itu telah menghabiskan beberapa dekad membantu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal tetapi ia menghadapi masalah besar.

    Kelihatan kanak-kanak pelarian Palestin berada di luar sekolah mereka di kem pelarian Balata. – Xinhua

    Pegawai agensi itu berkata UNRWA mempunyai defisit kewangan kira-kira AS$100 juta pada tahun fiskal ini, yang memaksanya mengecilkan program bantuannya, termasuk memotong catuan makanan.

    “Daripada mendapat catuan makanan kami setiap bulan, kami kini hanya boleh mendapatkannya setiap tiga bulan. Dan kuantitinya jauh lebih kecil, hampir tidak cukup untuk sebulan,” kata Hammouda sambil menguli tepung bagi membuat roti untuk anak-anaknya.

    Lebih memburukkan keadaan, suami Hammouda mengalami kegagalan buah pinggang manakala anak sulung mereka juga sakit, yang memburukkan lagi beban kewangan keluarga.

    “Perkataan pelarian bermaksud melarikan diri dari kematian ke tempat perlindungan yang selamat, tetapi kami melarikan diri dari kematian kepada penderitaan yang berterusan,” katanya sambil menambah keluarganya telah hidup sebagai pelarian selama beberapa dekad tetapi dia masih tidak melihat berakhirnya penderitaan mereka.

    Ibrahim Sharara, 76, adalah pelarian kelainan upaya dari kem Balata. Dia selalunya duduk di hadapan kediamannya yang usang bersama jirannya kerana tidak ada pekerjaan yang mencukupi di kem, terutamanya bagi warga emas yang kelainan upaya.

    Sharara berkata, kehidupan di dalam kem pelarian bukanlah mudah, lebih-lebih lagi mereka menunggu bantuan daripada institusi antarabangsa untuk terus hidup.

    “Saya telah tinggal di kem itu sejak 1950, kerana keluarga saya adalah antara yang pertama tinggal di kem ini untuk melarikan diri daripada kematian dan ketakutan,” kata warga Palestin itu.

    Kedua-dua Hammouda dan Sharara meminta lebih banyak bantuan daripada masyarakat antarabangsa kerana kebanyakan pelarian di kem itu sangat terperangkap dalam kemelaratan mutlak.

    Menempatkan kira-kira 28,000 orang, kem Balata hanyalah satu daripada 19 kem pelarian di Tebing Barat, yang semuanya sangat bergantung kepada bantuan daripada UNRWA.

    “Kem ini mengalami kesesakan, manakala penduduk mengalami pengecilan saiz UNRWA, kerana penduduk bergantung kepada satu klinik perubatan yang beroperasi pada waktu tertentu sahaja,” kata Faryal Kharoub, seorang aktivis masyarakat di kem Balata kepada Xinhua, sambil menambah mereka takut seluruh dunia secara beransur-ansur melupakan penderitaan rakyat Palestin.

    Hammouda berkata dia tidak melihat cara untuk dirinya tinggal di luar kem pelarian, tempat dia tinggal selama bertahun-tahun, tetapi dia berharap suatu hari nanti anak-anaknya dapat keluar dan tinggal di tempat yang makmur.

    Nevin, salah seorang anak perempuannya, telah memasuki universiti untuk belajar jurusan pemprograman komputer.

    “Walaupun pelajar lain seusia saya mengimpikan untuk menamatkan pengajian di universiti untuk mencapai cita-cita dalam hidup, saya bercita-cita untuk membantu ibu saya dalam perbelanjaan rumah dan membantu adik-beradik saya menamatkan pengajian mereka,” kata pelajar universiti berusia 20 tahun itu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...