Pelarian pertama dijangkiti virus di kem Palestin

BEIRUT, 22 APRIL – Sebuah kem pelarian Palestin di Lubnan telah dikenakan lockdown selepas PBB mengumumkan kes koronavirus pertama yang disahkan di salah satu kem paling sesak dalam negara itu.

Pesakit, seorang pelarian Palestin dari Syria, telah dibawa ke hospital Rafic Hariri di Beirut, kata agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA, dalam satu kenyataan lewat semalam. Pakar perubatan dijangka melawat kem Wavel di timur Lembah Bekaa lewat hari ini untuk menjalankan ujian, tambah agensi.

Ujian akan menumpu pada saudara wanita dan orang yang berinteraksi dengannya, serta 50 orang lain yang dipilih ‘dalam kem dan sekitarnya’, kata Agensi berita Nasional Lubnan.

Dengan kerjasama anggota keselamatan Lubnan, puak Palestin yang bertanggungjawab terhadap keselamatan telah mengenakan lockdown ke atas kem, menghalang sesiapa daripada masuk atau keluar, kata laporan NNA.

PBB dan kumpulan bantuan berkali-kali mengingatkan pelarian dan migran di kem sesak di seluruh dunia menghadapi risiko dijangkiti koronavirus.

Lebih daripada 2,000 orang tinggal di Wavel, menurut statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan Lubnan selepas bancian pada 2017, tetapi agensi PBB berkata jumlah yang didaftar dalam kem adalah jauh lebih tinggi.

Kumpulan bantuan mengingatkan ratusan ribu pelarian Palestin dan Syria yang tinggal di kem sesak Lubnan mudah terdedah dan pesakit yang mengasingkan diri dalam kem di mana sanitasi adalah lemah akan menimbulkan cabaran besar. – AFP

Pekerja membersihkan kem Wavel untuk pelarian Palestin di timur Lembah Bekaa kelmarin selepas PBB mengumumkan kes pertama koronavirus di sana. – AFP