Pelarian Rohingya enggan pulang

TEKNAF, BANGLADESH, 22 OGOS – Tiada seorang pun pelarian Rohingya muncul untuk dihantar pulang ke Myanmar, tatkala lima buah bas dan 10 trak sedang menunggu mereka di kem Teknaf, Bangladesh, hari ini.

Kira-kira 740,000 etnik Muslim Rohingya lari ke Bangladesh pada Ogos 2017 daripada serangan tentera di Myanmar yang disamakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan pembersihan etnik.

Mereka dikatakan enggan pulang ke Myanmar tanpa dijanjikan jaminan keselamatan dan diberikan kerakyatan oleh Myanmar.

“Kerajaan Myanmar merogol dan membunuh kami. Jadi, kami memerlukan jaminan keselamatan dan tanpanya kami tidak akan pulang,” kata pemimpin Rohingya, Nosima menerusi kenyataan yang disiarkan oleh pelarian.

Seorang lagi pelarian dari kem berkenaan, Mohammad Islam, 26, berkata mereka memerlukan jaminan kewarganegaraan, keselamatan dan janji tanah air yang asal.

“Jadi kami mesti berbincang dengan kerajaan Myanmar mengenai penghantaran pulang sebelum ini,” katanya.

Difahamkan kenderaan sudah disediakan kira-kira jam 9 pagi untuk mengangkut kumpulan pertama daripada 3,450 orang yang dipilih untuk pulang ke Myanmar di kem Teknaf.

Namun, empat jam selepas itu, tiada siapa yang tampil untuk menaiki kenderaan berkenaan.

“Kami menemuramah 295 keluarga. Tetapi tiada siapa yang tampil menunjukkan minat untuk dihantar pulang,” kata Suruhanjaya Pelarian Bangladesh, Mohammad Abul Kalam memberitahu wartawan. – AFP

Pemandu dilihat berehat di sebuah bas yang akan digunakan untuk membawa pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar, di kem Shalbagan di Teknaf kelmarin. – AFP