Pelarian Rohingya kekal ‘Stateless’ di bumi Malaysia

KUALA LUMPUR – Seperti pelarian Rohingya lain, Zaria (bukan nama sebenar) datang ke Malaysia bersama anak dan suami kerana tidak tahan lagi dengan kehidupan penuh kesengsaraan di kampung halaman mereka di Rakhine, Myanmar. Keluarga ini kemudiannya mendapat perlindungan di sebuah penempatan Rohingya di Selayang dan Zaria tanpa sebarang pengenalan diri yang rasmi, cuba melahirkan anak di hospital tempatan. Namun dia tidak dibenarkan berbuat demikian kerana tiada dokumen lengkap.

Bercakap kepada Bernama dengan menggunakan penterjemah, Zaria menjelaskan beliau terpaksa melahirkan anak ketiganya di sebuah rumah usang di Selayang dengan bantuan ‘doktor dan bidan terjun’ di kalangan rakan pelarian selain dibantu masyarakat tempatan.

“Saya tidak mempunyai pilihan. Saya lebih rela melahirkan anak di negara ini dari terus ditindas dan mati di tempat asal,” katanya sambil menjelaskan beliau berharap identitinya tidak didedahkan demi keselamatannya. Nasib yang menghimpit kehidupan Zaria boleh dikatakan nasib malang yang sama menimpa puluhan ribu lagi etnik Rohingya yang terpaksa melarikan diri ke Malaysia untuk kelangsungan hidup.

Nasib etnik Rohingya

Etnik Rohingya adalah satu daripada 135 kumpulan etnik di Myanmar. Ia adalah etnik minoriti dan bilangan mereka dianggarkan sekitar 1.33 juta orang dan rata-ratanya mereka beragama Islam. Umum mengetahui, etnik ini telah mendiami wilayah Rakhine, satu daripada wilayah di barat Myanmar sejak ratusan tahun dahulu.

Etnik Rohingya adalah satu daripada 135 kumpulan etnik minoriti di Myanmar dan rata-ratanya mereka beragama Islam. – Bernama
Etnik Rohingya adalah satu daripada 135 kumpulan etnik minoriti di Myanmar dan rata-ratanya mereka beragama Islam. – Bernama
Aminah Asadullah (kiri), 38, dari etnik Rohingya bersama suami dan anak-anaknya menunjukkan kad perakuan sah dari Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian di sebuah bilik yang merupakan kediaman mereka di kawasan Pasar Besar Selayang. – Bernama
Aminah Asadullah (kiri), 38, dari etnik Rohingya bersama suami dan anak-anaknya menunjukkan kad perakuan sah dari Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian di sebuah bilik yang merupakan kediaman mereka di kawasan Pasar Besar Selayang. – Bernama

Namun kerajaan Myanmar tetap menganggap mereka sebagai pendatang asing dan menafikan mereka taraf kewarganegaraan. Penganiayaan besar-besaran melalui pembersihan etnik dan tindakan pembunuhanmenyebabkan kira-kira 1.5 juta Rohingya terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka sejak kemerdekaan Burma pada tahun 1948.

Ada yang melarikan diri ke negara jiran termasuk Malaysia dengan menggunakan sindiket atau mempertaruhkan nyawa dengan menaiki bot pelarian yang berdepan dengan risiko terdampar tanpa makanan, bekalan air dan keperluan asas untuk tempoh yang panjang serta kemungkinan mati kebuluran.

Kongsi kisah

Seorang kanak-kanak, Feqah (she), 8 tahun ingin menyambung persekolahan di sebuah sekolah di Klang selepas lari dari tempat asalnya, Rakhine. Namun impian anak kecil ini terhalang walaupun pelbagai permohonan diminta dan dimajukan kepada Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef). “Saya cuma mampu belajar di tempat biasa dan bukannya sekolah yang betul.

Saya ingin belajar seperti kanak-kanak lain supaya dapat membantu keluarga saya apabila besar nanti,” katanya.

Lain pula kisah Muhamed yang tidak mahu lagi bersekolah sebaliknya bekerja secara haram sebagai pembantu kedai mencuci kereta di Ipoh dengan upah kira-kira RM20 sehari demi keluarganya. “Apa saya boleh buat? Saya sudah tinggal di sini dan perlu mencari sesuatu untuk hidup walaupun tiada dokumen. Saya bukan buat kerja penjenayah, saya buat kerja halal,” katanya yang kerap kali bersembunyi dari ditangkap pihak berkuasa.

Zafar Ahmad Abdul Ghani, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM), menyifatkan situasi etnik tersebut sangat buruk dan UNHCR perlu mencari penyelesaian segera. “Tidak ada hospital atau klinik tertentu untuk Rohingya. Mereka perlu membayar berkali ganda berbanding warganegara tempatan. Tanpa kad UNHCR, bayaran yang tinggi dikenakan,” kata beliau.

Menurut Zafar Ahmad, UNHCR juga bertanggungjawab untuk menguruskan dengan pihak Imigresen Malaysia untuk membebaskan pelarian Rohingya sekiranya ada yang ditahan. Bagaimanapun, kata beliau, proses itu memakan masa yang panjang dan mendakwa ramai yang terpaksa menderita kerananya.

Sindiket berleluasa

Ada juga pelarian Rohingya yang datang ke Malaysia tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan ada juga yang mempunyai kad UNHCR yang lama dan perlu dikemaskini atau digantikan dengan baru setelah tamat tempoh. Sebagai contoh, Muharam, yang sudah hampir lima tahun tinggal di Malaysia yang memberitahu penulis, usahanya untuk memperbaharui kad UNHCRnya menemui jalan buntu akibat kerenah birokrasi selain proses tapisan yang amat ketat.

Bagi seorang lagi pelarian, Erfah, yang kerap kali memohon kad UNCHR bagi mengelakkan ditangkap pihak berkuasa, sindiket pengeluaran kad menghalangnya untuk mendapatkan identiti dan dokumen pengenalan diri. Beliau mendedahkan pernah menemui individu kononnya bekerja di pejabat UNHCR yang mendakwa boleh memberinya kad pelarian namun perlu membayar sejumlah wang bagi mendapatkannya.

Anak-anak pelarian etnik Rohingya berpeluang mengikuti klas pengajian Al-Quran di sebuah rumah yang disewa sendiri di kawasan Pasar Besar Selayang. – Bernama
Anak-anak pelarian etnik Rohingya berpeluang mengikuti klas pengajian Al-Quran di sebuah rumah yang disewa sendiri di kawasan Pasar Besar Selayang. – Bernama

“Selepas pelbagai surat rasmi kepada UNHCR gagal mendapat jawapan positif kecuali ‘sedang diproses’, saya terpaksa menggunakan jalan belakang dan membayar RM50 hingga RM200. Namun sampai sekarang, tiada apa jua diterima,” katanya.

Penubuhan pangkalan data jalan keluar sindiket?

Sebagai langkah untuk membenteras kegiatan sindiket tersebut, Zafar Ahmad tampil dengan usaha penubuhan pangkalan data. “Terdapat lebih 60,000 orang pelarian Rohingya di Malaysia yang tidak mempunyai sebarang dokumen yang berhak mendapat taraf Pelarian. “Cuma tidak ada pihak yang mempunyai pangkalan data. Oleh yang demikian, kami cuba membantu kerajaan Malaysia serta misi diplomat yang lain dengan mengumpul pangkalan data. “Kami memberi mereka kad pengenalan sebagai ahli MERHROM,” katanya.

Menurut Zafar Ahmad, ramai pelarian Rohingya masih menganggur dan berdepan dengan kehidupan yang sukar. Penulis juga berkesempatan bertemu dengan seorang yang terkenal di kalangan masyarakat Rohingya Malaysia, Rafik Ismail atau lebih dikenali sebagai Ustaz Rafik, 41.

Beliau memberitahu Bernama, selain daripada penubuhan pangkalan data ini, banyak lagi yang perlu dilakukan bagi membanteras sindiket tersebut. Rafik sudah hampir 30 tahun berada di Malaysia berharap pihak berkuasa tempatan dapat membantu mempercepatkan proses supaya pelarian Rohingya dapat dihantar ke negara ketiga.

Masa depan tidak menentu

Isu minoriti etnik Rohingya ini mendapat perhatian seluruh dunia kerana penderitaan dan kezaliman yang ditempuh di bumi sendiri dan nekad melarikan diri ke negara jiran seperti Malaysia. Mengikut undang-undang pelarian antabangsa, negara kedua seperti Malaysia perlu menyediakan tempat tinggal sementara seperti yang dilaksanakan di Turki dan Britain.

Seorang aktivis kemanusiaan, Norul Hazreen Muhammad berpendapat, dengan adanya pusat penempatan sementara meliputi sekolah dan pusat perniagaan, pelarian akan kekal dalam satu komuniti dan tidak akan mengganggu masyarakat luar.

“Jika Malaysia tidak menerima mereka, apa salahnya disediakan satu kawasan khas untuk penempatan berteduh dan tinggal sementara menunggu dihantar ke negara ketiga. “Di dalam kawasan itu, pelarian boleh menghantar anak ke sekolah, bekerja dan mengelakkan terlibat dalam aktiviti jenayah seperti yang berlaku sekarang akibat kesempitan hidup,” katanya.

Norul Hazreen turut mencadangkan kad pelarian UNHCR diperluaskan dan bukan semata-mata untuk identiti pelarian sebaliknya boleh digunakan untuk mencari kerja secara halal ketika berteduh di bumi Malaysia ini. Kata beliau, sikap pilih kasih tidak sepatutnya diamalkan terhadap pelarian Rohingya ini berbanding apa yang diterima pelarian lain seperti Pakistan dan Syria kerana ia akan menjejaskan nama baik Malaysia.

Diskriminasi dan penindasan berterusan terhadap kaum etnik tersebut terus berlaku di negara asal membabitkan dua jenayah antarabangsa iaitu penghapusan bangsa dan jenayah terhadap kemanusiaan. Justeru, apakah ada pilihan lain untuk pelarian Rohingya ini selain dari tinggal di Malaysia? – Bernama