DHAKA, 17 OGOS – Pelarian Rohingya kelmarin menggesa Ketua Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Michelle Bachelet yang melawat ke penempatan pelarian untuk PBB melibatkan diri secara aktif dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif di Myanmar bagi penghantaran pulang minoriti yang teraniaya ke negara asal mereka, lapor Agensi Anadolu.
Lawatan Bachelet merupakan lawatan pertama Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB ke Bangladesh serta penempatan pelarian Rohingya di Daerah Cox’s Bazar.
Di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat, Bachelet menghabiskan beberapa jam dalam kem yang penuh sesak dan melawat pejabat pelbagai agensi bantuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menilai perkhidmatan di kem pelarian terbesar di dunia itu.
Beliau juga bertukar pandangan dengan sekumpulan wakil Rohingya dan bertanya kepada mangsa yang terselamat daripada tindakan genosid itu tentang keperluan dan tuntutan mereka.
“Kami meminta beliau untuk melibatkan PBB sebagai organisasi paling berkuasa di dunia untuk mewujudkan persekitaran yang aman di Myanmar supaya kami boleh kembali ke tanah air dengan hak kewarganegaraan dan keselamatan,” seorang ketua agama Rohingya, Maulana Azim Ullah, memberitahu Agensi Anadolu selepas pertemuan itu.
Ullah berkata Bachelet memberi jaminan kepada pelarian berkenaan tentang peranan positif PBB dalam penghantaran pulang pelarian Rohingya secara aman, sambil menambah bahawa “sehingga penghantaran pulang secara aman, belia meminta kami untuk terus bersabar dan tinggal secara aman di kem Bangladesh.”
Ketua pemuda Rohingya Khin Maung bagaimanapun berkata mereka tidak berpuas hati dengan tindakan perlahan PBB dalam menyelesaikan krisis Rohingya.
“Kami melihat bahawa peranan PBB hanya tertumpu kepada mengambil maklumat, mengeluarkan kenyataan dan memberi jaminan semata-mata. Saya (tidak akan) percaya bahawa platform pemimpin dunia yang begitu berkuasa memerlukan masa yang begitu lama untuk mewujudkan persekitaran di Myanmar bagi penghantaran pulang kekal Rohingya tanpa kerakyatan,” tambah Maung. – Bernama