Pelarian Syria berjuang untuk hidup di Lubnan

BEIRUT – Di sebuah lembah, kawasan Ketermaya, kira-kira 40 kilometer di Tenggara Lubnan, berpuluh-puluh buah khemah memenuhi kawasan ladang zaitun khususnya di lereng-lereng bukit. Di kawasan inilah, Ahmad Abbas pernah tinggal. “Kami hidup dalam keadaan yang begitu teruk dan sengsara,” kata Abbas, pelarian dari Syria yang berusia 60an tahun dan berasal dari Baba Amr di Homs, Tengah Syria.

Abbas, ayah kepada empat orang anak telah berpindah ke Ketermaya di Bukit Lubnan tujuh tahun yang lalu apabila kehidupan di Homs menjadi tidak tenteram berikutan perang saudara di negara jiran Syria. “Saya sangat sakit ketika itu dan hampir tidak dapat berjalan, saya datang ke Lubnan menggunakan kerusi roda dan mengambil teksi dari Homs,” kata Abbas kepada media Xinhua ketika perang saudara Syria memasuki tahun yang kelapan.

Isteri Abbas dan tiga orang anaknya datang sebulan selepas dia tiba di Lubnan. Air mata isterinya mengalir dengan begitu lebat tatkala mengingat kembali anak sulungnya yang meninggal dunia sendirian tanpa keluarga di Homs. “Anak saya terbunuh apabila sebutir roket jatuh di rumah kami, kami tidak boleh kembali melihatnya dan tidak tahu apa-apa mengenai dirinya,” tambahnya sedih.

Abbas masih ingat, dia hidup bahagia di Homs. “Kehidupan keluarga saya terjamin dari segi kewangan dan saya memang dikenali sebagai seorang mekanik kereta yang terkenal di Syria. Semua anak-anak saya pergi ke sekolah, kini saya hanya mampu menghantar seorang sahaja anak saya ke sekolah kerana pihak kerajaan Lubnan membayar pendidikannya,” katanya kepada media. Abbas dan keluarganya sekarang tinggal di sebuah apartmen yang sudah lama di Ketermaya.

Terlalu ramai dan padat

Mereka telah berpindah keluar dari Kem Ketermaya kerana mereka tidak lagi dapat bertahan untuk hidup bersama dengan 285 pelarian yang lain dalam satu khemah. Apartmen Abbas yang dilengkapi dengan perabot tidak mempunyai sistem pemanasan yang digunakan ketika musim sejuk dan Abbas terpaksa membayar sewa berjumlah AS$350 setiap bulan.

Kem di mana Abbas pernah tinggal merupakan satu-satunya yang terletak di Ketermaya. Untuk sampai ke kem tersebut, mereka perlu mendaki kawasan lereng bukit dan berjalan melalui terusan yang dipenuhi dengan kumbahan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. – Xinhua

Kem ini terletak kira-kira 40 kilometer di Tenggara Lubnan, berpuluh-puluh buah khemah memenuhi kawasan ladang zaitun khususnya di lereng-lereng bukit. – Xinhua

“Kadang-kadang kami tidak mampu untuk membayar sewa tersebut,” kata Abbas, yang mengalami masalah kesihatan dan menghalangnya dari bekerja. “Anak saya yang lebih tua telah bekerja dengan pihak perbandaran dan kilang di Sibline tetapi dia tidak dibayar dengan baik,” katanya sambil menambah bahawa dia sering meminjam wang daripada saudara mara dan bergantung kepada pertolongan dari organisasi amal.

Walaupun menjalani kehidupan yang terdesak, Abbas adalah antara pelarian Syria yang bertuah kerana sanggup menyewa sebuah rumah di Lubnan. Perang saudara di Syria menyebabkan 1.5 juta penduduk mencari perlindungan di Lubnan. Kebanyakan pelarian Syria yang berpindah ke Lubnan tinggal di kem-kem yang didirikan di beberapa buah kawasan di seluruh negara itu.

Kem di mana Abbas pernah tinggal merupakan satu-satunya yang terletak di Ketermaya. Untuk sampai ke kem tersebut, mereka perlu mendaki kawasan lereng bukit dan berjalan melalui terusan yang dipenuhi dengan kumbahan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan akibat kekurangan sistem pelupusan sehingga membahayakan nyawa pelarian dan menimbulkan masalah kesihatan.

“Memang kami sudah berpindah ke sebuah apartmen sekarang tetapi kehidupan kami semakin sukar, kami tidak pasti sama ada dapat membayar sewa rumah dan perbelanjaan yang lain,” katanya kepada media.

Bantuan-bantuan asas

Ketua Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi berkata kepada Xinhua bahawa program-program tunai oleh agensi biasanya akan menyasarkan pelarian yang terdedah kepada kekurangan bererti ada sesetengah pelarian tidak akan diberikan wang tunai.

Grandi menjelaskan bahawa terdapat beberapa sokongan yang lain dan tersedia untuk semua pelarian seperti permit kediaman dan mendapatkan pendidikan bagi anak-anak pelarian dengan kerjasama Kementerian Pendidikan di Lubnan. “Beberapa pelarian tidak melihat tawaran ini sebagai bantuan langsung tetapi diberikan kepada mereka dalam program berskala atau berstruktur,” jelasnya. “Kami mempunyai sumber terhad sehingga hanya perlu menyasarkan kepada yang benar-benar memerlukannya,” tambahnya.

Grandi berkata bahawa UNHCR sedang berusaha untuk membahagikan sumbernya itu untuk memaksimumkan impak mereka. Kesatuan Eropah dan PBB akan mengadakan sidang Brussels mengenai ‘Menyokong Masa Depan Syria dan Wilayahnya’ bermula 12 hingga 14 Mac.

Grandi berkata bahawa UNHCR akan meminta semasa persidangan itu untuk mendapatkan lebih banyak sumbangan bagi menyokong pelarian Syria dalam menguruskan penduduk dan tanah air mereka. Selain itu, Lubnan akan meminta lebih daripada AS$2 bilion untuk menyokong pelarian dalam persidangan itu. – Xinhua