Pelawat ke Arab Saudi perlu status ‘imun’

KUALA LUMPUR, 6 DIS – Kementerian Kesihatan (MoH) Arab Saudi hari ini mengeluarkan kemas kini definisi status ‘imun’ dan kriteria pemberiannya di aplikasi Tawakkalna bagi pengembara luar yang datang sama ada untuk lawatan sosial atau haji dan umrah.

MoH yang berkongsi infografik mengenai hal ini menerusi Twitternya menyatakan bahawa penerima dua dos vaksin Sinopharm, Sinovac dan Covaxin diberi status ‘imun’ bermula 1 Dis 2021 dan dibenarkan memasuki negara berkenaan, dengan syarat perlu mengambil dos tambahan yang diiktiraf sama ada Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson atau Moderna.

MoH turut mengumumkan pengembara dari seluruh dunia yang mendapat dua dos vaksin Sputnik V dan dos tambahan yang diluluskan, akan diberi status yang sama dan dibenarkan memasuki Arab Saudi mulai 1 Januari 2022.

Syarat lain yang perlu dipatuhi adalah membuat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dengan keputusan negatif dalam tempoh 72 jam sebelum tiba ke negara itu.

Kuarantin wajib di institusi kuarantin selama tiga hari diperlukan untuk pengembara luar yang diimunisasi dengan dua dos vaksin yang dinyatakan. – Bernama