Pelawat ke Taiwan meningkat mendadak

TAOYUN, TAIWAN, 22 JUN – Jumlah ketibaan di lapangan terbang terbesar di Taiwan meningkat mendadak hari ini – hari pertama Taiwan membuka pintu kepada pelancong perniagaan dari negara dan kawasan tertentu.

Menurut Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, 1,475 penumpang dijangka tiba hari ini, sementara 643 lagi dijangka berlepas, lapor Agensi Berita Pusat (CNA) Taiwan. Pusat Kawalan Epidemik Taiwan mengkategorikan 11 negara dan kawasan  sebagai berisiko rendah COVID-19 iaitu New Zealand, Australia, Macau, Palau, Fiji, Brunei, Vietnam, Hong Kong, Thailand, Mongolia dan Bhutan. Negara berisiko rendah hingga sederhana pula, Korea Selatan, Jepun, Malaysia dan Singapura.

Program bermula hari ini itu mewajibkan pelancong perniagaan dari 15 wilayah mendapat kelulusan CECC terlebih dahulu dan menunjukkan hasil ujian saringan COVID-19 yang dilakukan dalam masa tiga hari sebelum berlepas. Mereka juga tidak melakukan perjalanan ke negara lain dalam masa 14 hari semasa ketibaan. – Bernama