Pelawat kunjungi Iran, Itali dilarang masuk ke Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan orang ramai bahawa mana-mana pelawat yang telah berada di Republik Islam Iran dan Itali dalam masa 14 hari sebelum tiba di Negara Brunei Darussalam adalah tidak dibenarkan masuk ke negara ini termasuk bagi tujuan transit.

Larangan ini adalah sama dengan larangan yang sedia ada bagi pelawat-pelawat yang tiba dari wilayah Hubei, Jiangsu dan Zhejiang di Republik Rakyat China dan adalah dikecualikan bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan, setakat kelmarin, semua negara-negara yang terjejas oleh wabak COVID-19 telah dibahagikan kepada empat kategori iaitu Kategori A (negara-negara yang menunjukkan penularan jangkitan yang berterusan termasuk Tanah Besar China, Itali, Republik Islam Iran, Republik Korea dan Kategori B (negara dan wilayah yang menunjukkan penularan jangkitan yang terhad tetapi kluster bersaiz besar telah dilaporkan) termasuk Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun, Singapura.

Manakala Kategori C (negara dan wilayah yang menunjukkan penularan setempat) termasuk Macau, Malaysia (kecuali Sabah, Sarawak dan Labuan), Taiwan, Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Vietnam dan Kategori D (negara-negara yang melaporkan isolated cases atau kes yang diimport) termasuk negara-negara lain yang terjejas.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membuat perjalanan yang tidak penting (non-essential travel) ke negara-negara yang tersenarai di dalam Kategori A, B dan C.

Jelas kenyataan itu lagi, tidak ada kes jangkitan pernafasan akut teruk yang berkaitan dengan COVID-19 telah dikesan di Negara Brunei Darussalam.

Bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang pulang dari negara-negara yang disenaraikan di dalam Kategori A adalah dikehendaki untuk menjalani pengasingan diri (self-isolation) selama 14 hari sebaik saja tiba di negara ini.

Manakala sesiapa yang baru tiba di negara ini dari negara-negara yang tersenarai di dalam Kategori B dan Kategori C hendaklah melakukan pemantauan diri (self-monitoring) tanpa perlu mengasingkan diri daripada orang lain.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai status kesihatan dua orang warga Negara Brunei Darussalam yang dibawa pulang dari Wuhan, Republik Rakyat China pada 8 Februari 2020, di mana kedua-duanya telah menamatkan tempoh pengasingan pada 22 Februari 2020 dan berada di dalam keadaan yang sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda jangkitan.