BRUSSELS, 19 MEI – Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) mencapai persetujuan hari ini untuk membuka semula sempadan blok kepada pelawat yang telah menerima suntikan penuh vaksin koronavirus, kata sumber Eropah.
Bertemu di Brussels, diplomat juga bersetuju untuk menambah jumlah kes baharu yang dicatat oleh sesebuah negara sebelum diisytiharkan tidak selamat – satu langkah yang akan membuka perjalanan masuk ke EU dari lebih ba-nyak negara.
Cadangan itu akan diluluskan oleh menteri-menteri EU pada Jumaat, kata mereka. Seorang jurucakap Suruhanjaya EU mengesahkan duta-duta telah menyokong pengemaskinian ke atas peraturan perjalanan tersebut.
Sejak Mac 2020, perjalanan tidak penting ke 27 negara anggota EU telah diharamkan, selain sejumlah kecil negara yang dianggap selamat disebabkan kadar kes COVID-19 yang rendah.
Menurut diplomat, di bawah peraturan baharu itu, pelawat yang boleh membuktikan mereka telah menerima dos vaksin yang diwajibkan EU boleh memasuki blok itu.
Selain itu, jumlah kes setiap 100,000 orang yang didaftar oleh sebuah negara dalam tempoh dua minggu dan masih dipertimbang untuk senarai hijau akan meningkat daripada 25 kepada 75.
Ia masih tidak termasuk pelawat tanpa suntikan vaksin dari sebahagian besar dunia, namun boleh membenarkan perjalanan dari, misalnya, Britain, yang jauh lebih maju dalam kempen vaksinasinya.
Negara anggota juga bersetuju untuk menubuhkan mekanisme kecemasan bersepadu untuk menggantung ketibaan dari negara bukan EU yang dibelenggu kemunculan varian virus baharu. – AFP
