Pelayan diserang apabila minta bukti vaksinasi

NEW YORK, 17 SEPT – Seorang pelayan di restoran popular Bandar New York diserang oleh tiga wanita dari Texas selepas dia meminta bukti mereka telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kata polis.

Ketiga-tiga wanita itu menumbuk pelayan restoran di Carmine berkali-kali dan memutus rantai lehernya pada petang semalam selepas dia meminta bukti vaksinasi, yang diwajibkan untuk makan di dalam restoran di Bandar New York, kata polis dalam kenyataan media.

Serangan itu menyebabkan mangsa berusia 24 tahun itu mengalami luka lebam dan calar, menurut polis. Dia enggan mendapatkan rawatan.

Ketiga-tiga wanita itu telah ditahan atas dakwaan menyerang. Mereka diarahkan hadir di mahkamah pada 5 Oktober.

Peraturan di Bandar New York yang mewajibkan bukti vaksinasi untuk makan di restoran, gim dan pusat hiburan telah berkuat kuasa sejak 17 Ogos tetapi hanya dilaksanakan pada minggu ini. – AP