Pelayan ditembak gara-gara lambat

BOBIGNY, PERANCIS, 18 OGOS – Seorang pelayan di sebuah restoran di Paris ditembak mati oleh seorang pelanggan kerana marah selepas terpaksa menunggu lama roti sandwic yang dipesannya.

Sumber berkata, rakan sekerja mangsa menelefon polis selepas dia ditembak dengan sepucuk pistol di restoran terletak di Noisy-le-Grand, pinggir bandar timur Paris.

Usaha untuk menyelamatkan mangsa berusia 28 tahun menemui jalan buntu apabila dia meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut saksi, lelaki bersenjata itu dipercayai hilang pertimbangan selepas roti sandwic kesukaan yang dipesannya tidak disediakan dengan cepat.

Suspek kemudian melarikan diri selepas kejadian itu dan polis memberitahu AFP bahawa pihak mereka telah membuka siasatan terhadap kes pembunuhan itu.

Insiden penembakan di restoran itu telah mengejutkan penduduk setempat di sekitarnya serta pelanggan yang sedang menikmati hidangan makanan mereka di restoran itu.

“Dia terbunuh hanya kerana sandwic?” salah seorang bertanya seperti tidak percaya.

“Sungguh sedih,” kata seorang wanita berusia 29 tahun sambil menambah “Ia adalah sebuah restoran yang tenang, tanpa sebarang masalah. Ia baru dibuka beberapa bulan lalu.”

Tetapi beberapa penduduk tempatan memberitahu bahawa tahap kegiatan jenayah di kawasan tersebut adalah sangat tinggi, terutamanya jenayah yang membabitkan pengedaran dadah. – AFP

Polis berdiri di depan restoran di mana seorang pelayan ditembak mati oleh pelanggan yang didakwa marah kerana perlu terpaksa menunggu lama roti sandwic yang dipesannya. – AFP