TOKYO – Seorang pelayar buta Jepun berjaya menamatkan pelayaran tanpa henti rentas Lautan Pasifik baru-baru ini, lapor media tempatan dan menjadi orang hilang penglihatan pertama mencipta rekod dunia mengemudi sebuah kapal layar merentasi lautan luas.
Mitsuhiro Iwamoto tiba di sebuah pelabuhan di Fukushima dengan menaiki kapal layar sepanjang 12 meter baru-baru ini selepas dua bulan berlepas dari California, Amerika Syarikat (AS).
Iwamoto, 52, penduduk di San Diego, berlayar dari bandar raya AS itu pada 24 Februari lalu bersama Doug Smith, seorang penunjuk arah yang membantunya secara lisan dengan membekalkan maklumat seperti arah tiupan angin.
Ia merupakan percubaan kedua Iwamoto selepas pelayarannya sebelum ini terpaksa dipendekkan kira-kira enam tahun lalu selepas kapal layarnya melanggar seekor paus lalu karam.
Tidak mudah menyerah kalah
“Saya sudah pulang. Terima kasih,” kata Iwamoto semasa majlis sambutan kepulangannya selepas kapal layar itu memasuki Fukushima sekali gus menamatkan pelayaran sejauh 14,000 kilometer. Saya tidak menyerah kalah dan saya menjadikan impian satu kenyataan,” kata Iwamoto yang dipetik akhbar Jepun, Kyodo News.
Ia adalah pelayaran rentas pertama oleh pelayar buta, menurut Kyodo News.
Iwamoto, hilang daya penglihatan pada usia 16 tahun, melakukan pelayaran itu untuk mengumpul derma kebajikan termasuk usaha mencegah masalah penglihatan, menurut laman webnya. – AFP