YOKOHAMA, JEPUN – Pelayaran persiaran mewah ulang tahun perkahwinan ke-50 David Abel bermula dengan acara makan secara ‘besar-besaran’ sambil menikmati pemandangan Asia Timur.
Ia berakhir dengan beliau dikuarantin dalam kabinnya di kapal persiaran Diamond Princess untuk tempoh dua minggu tambahan, memakan ‘sandwic daun salad dengan beberapa kepingan ayam di dalam’ serta memerhati pegawai dalam sut perlindungan mengiringi puluhan orang yang dijangkiti, ada di antara mereka menyembunyikan identiti mereka di bawah cadar, di luar kapal menuju ke hospital untuk mendapatkan rawatan virus baharu. Pegawai berkata pada Jumaat bahawa 61 orang dari kapal telah pun dijangkiti koronavirus yang merebak dengan cepat.
“Ia tidak akan menjadi kapal persiaran mewah; ia akan menjadi penjara terapung,” kata Abel di laman Facebook dari kapal di pelabuhan Yokohama, di luar Tokyo. Beliau adalah antara beribu-ribu orang dalam dua kapal persiaran di Jepun dan Hong Kong yang menghadapi kuarantin disebabkan virus tersebut.
Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe mengumumkan pada Khamis bahawa Jepun tidak akan membenarkan kemasukan penumpang asing dalam sebuah lagi kapal persiaran yang sedang menuju ke Jepun – kapal persiaran Holland Amerika Westerdam, dalam perjalanannya ke Okinawa dari Hong Kong – disebabkan koronavirus disyaki ditemui dalam kapal berkenaan.
Dasar imigresen baharu itu berkuat kuasa pada Jumaat untuk memastikan kawalan sempadan demi menghalang penyakit daripada masuk dan merebak seterusnya di Jepun, kata Abe.

Tatkala pegawai Jepun memunggah Diamond Princess dengan bekalan untuk menjadikan kuarantin lebih menyenangkan mungkin, penumpang beralih ke media sosial untuk memaparkan kebaikan hati anggota kru dan mengaku mengenai bekalan ubat yang berkurangan, kualiti makanan serta kegagalan bersenam malah tidak dapat meninggalkan kabin mereka.
Gambar dan video mereka menunjukkan kapal yang pernah mempunyai 3,711 penumpang dan kru kini menjadi sebuah kapal lengang dengan kawasan penyambut tetamu, kolam renang dan ruang dewan kosong. Anak damit dalam kapal Hong Kong dilaporkan kehabisan lampin dan susu.
“Saya fikir bagi kebanyakan penumpang, mereka akan rasa bosan,” kata Abel dalam satu temu bual berasingan. Beliau menganggap dirinya bernasib baik kerana beliau mempunyai kabin dengan beranda. “Orang yang saya rasa benar-benar bersimpati adalah mereka yang mempunyai kabin dalam yang tidak mempunyai cahaya semula jadi, tanpa udara segar. Keadaan adalah suram untuk mereka selama dua minggu.”
Suram merupakan satu cara untuk menggambarkan virus dan kebimbangan yang dicetusnya. Terdapat lebih daripada 31,000 kes yang telah disahkan, dan ia telah merebak ke kira-kira 24 negara. Namun, kebimbangan telah tersebar lebih cepat daripada penyakit. Topeng muka dan pembasmi kuman tangan habis dijual di kebanyakan kawasan Seoul, Tokyo dan Bangkok. Pekerja kesihatan menganjur mogok di Hong Kong dan diskriminasi antiChina telah dilihat di seluruh Asia. Taiwan telah mengharamkan kapal persiaran antarabangsa.
Di kapal Diamond Princess, terdapat tanda-tanda orang cuba menggunakan sebaik-baiknya situasi yang teruk itu.
Yardley Wong, seorang penumpang dari Hong Kong yang belayar bersama suami, anak lelaki dan ibu bapanya, berkata di Twitter bahawa kru memberikan anak lelakinya kad untuk bermain, pen warna dan hadiah lain ‘untuk membuang rasa bosan.’
Warga Australia Paul dan Coralie Williamson berkata kabin mereka adalah lebih kecil daripada bilik motel dan mereka dengar aduan daripada orang lain mengenai tidak adanya ubat, atau maklumat yang cukup.
Namun, selepas berkahwin selama 34 tahun, Coralie Williamson berkata: “Jika saya terkandas dalam sebuah bilik dengan seseorang, saya lebih rela ia adalah Paul daripada orang lain.”
“Jadi ia tidak menimbulkan masalah. Kami akan berjalan-jalan lebih lama di pantai apabila pulang,” beritahunya kepada Australian Broadcasting Corp.
Orang menyiar gambar sarapan, semangkuk salad buah, telur rebus, jus dan croissant. Seorang penumpang merai ulang tahun perkahwinan kesembilan mereka menerima kad ‘selamat ulang tahun’ daripada kakitangan kapal.
“Kami berada di sini untuk jangka masa yang lama. Saya fikir keadaan akan berubah menjadi dugaan. Akan tetapi saya tidak tahu. Apakah yang perlu kami lakukan? Kami tidak boleh melompat keluar dari bot; ia agak sejuk,” beritahu Jaqui Fidrmuc dari bandar Cairns kepada penyiar Australia Nine Network.
Pegawai kesihatan Jepun memberitahu wartawan bahawa kumpulan perubatan dan bekalan sedang dihantar ke kapal. Di pelabuhan di mana kapal menurunkan pesakit dijangkiti dan memunggah makanan dan bekalan, seorang individu dengan sut perlindungan memasuki kapal membawa dua kotak berlabel ‘termometer’.
Di kapal World Dream yang dikuarantin di Hong Kong, lebih daripada 3,60 penumpang dan kru sedang diperiksa disebabkan lapan penumpang dalam pelayaran sebelumnya dijangkiti virus. Pegawai Hong Kong berkata lebih daripada 5,000 penumpang dalam tiga kapal persiaran bermula pada 19 Januari mungkin telah terdedah.
Penggubal undang-undang Hong Kong Jeremy Tan berkata seorang wanita menghubunginya pada malam Rabu untuk berkata beliau dan beberapa ibu lain sedang kehabisan susu tepung dan lampin untuk anak damit mereka. Beliau berkata beliau percaya terdapat lima atau lebih anak damit dalam kapal itu, dan beliau menghantar barangan asas kepada pihak berkuasa pada Khamis.
Kehidupan di kapal persiaran Diamond Princess di Yokohama, menurut Abel, ‘telah jauh berubah daripada pelayaran persiaran mewah.” Satu hidangan makanan hanya segelas jus oren, yoghurt dan sedikit tembikai. Satu lagi hidangan adalah ‘sandwic salad dengan beberapa keping ayam di dalam’ dan pencuci mulut.
Apabila anggota kru bertopeng memberikan dan mengambil dulang makanan, beliau berkata, ‘ia amat cepat. Tidak adanya sentuhan fizikal selain daripada menyentuh dulang.”
Walaupun orang sakit telah pun dikeluarkan dari bot, masih timbulnya kebimbangan. “Kami telah menyedut udara yang sama dengan mereka yang telah dikeluarkan,” kata Abel.
“Bagaimanakah kami menghadapi dan mengatasinya?” tanya Abel di Facebook. “Kami boleh sama ada menjadi kreatif dan memikirkan benda-benda positif atau kami boleh mengheret diri kami dalam kancah kemelut. Sudah tentunya saya tidak mahu mengalami-nya,” kata beliau. – AP




























