MELAKA – Malaysia unik dengan pelbagai upacara serta sambutan yang sinonim dengan identiti masyarakat berbilang kaum dan budaya dikenali seluruh dunia. Justeru apabila rakyat dan negara kebelakangan ini menghadapi kesukaran seperti bencana, kelembapan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia itu menzahirkan cara unik untuk mendoakan kehidupan yang lebih baik.
Tanggal 9 Feb lepas satu upacara unik, yang dibawa ke Melaka oleh masyarakat Cina keturunan Hokkien dipercayai sekitar 150 tahun lepas, diadakan bertujuan mendoakan kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negara.
Diberi nama upacara ‘Wang Kang’ yang bermaksud ‘Kapal Wang’ adalah perarakan besar-besaran sebuah kapal bagi mengumpul ‘roh tersesat’, roh jahat dan elemen negatif lain. Masyarakat ini percaya kehidupan rakyat akan bertambah baik apabila roh dan elemen itu tiada lagi dalam persekitaran kehidupan seharian mereka.
Arahan dewa
Naib Pengerusi Tokong Yong Chuan Tian, Lai Poon Ken berkata upacara Wang Kang diadakan dengan arahan daripada dewa masyarakat berkenaan dan selalunya diadakan ketika rakyat menghadapi kesukaran dalam kehidupan. “Bergantung kepada arahan dewa, kehidupan rakyat dan perkiraan bulan mengikut kalendar lunar ia akan diadakan selalunya sekitar 14 tahun sekali. “Tahun ini Tokong Cheng Wah Keong mendapat arahan dewa untuk menjadi tuan rumah upacara ini, maka kami daripada tokong yang lain turut membantu dan menjayakan upacara ini,” katanya.

Apabila diperkatakan tentang kapal, ramai yang akan terbayang tentang pelayaran kapal di lautan namun berbeza dengan pelayaran kapal Wang Kang yang diadakan di jalan raya sekitar negeri ini. “Kita di Melaka berarak di jalan sekitar Bandaraya Melaka dan Jasin. Bila tiba di simpang tiga atau empat, kita jemput roh-roh itu naik Wang Kang untuk dihantar ke ‘resting place’ mereka,” katanya.
Perarakan Wang Kang
Masyarakat Cina percaya roh yang tidak dijaga seperti meninggal akibat kemalangan atau lemas, dan elemen negatif lain boleh menganggu kehidupan, maka dengan upacara itu diharap kehidupan semua rakyat akan bertambah baik, jelas Lai.
Perarakan Wang Kang pada 9 Feb lepas bermula di Tokong Cheng Wah Keong di Kandang di sini seawal pukul 6.30 pagi menuju ke beberapa kawasan Bandaraya Melaka, serta di Jasin antaranya Tiang Dua, Bemban dan Serkam. Perarakan disertai kira-kira 4,000 orang daripada persatuan tempatan serta luar negara antaranya China, Taiwan dan Singapura, berakhir dengan upacara membakar kapal Wang Kang untuk menghantar roh serta elemen yang dikumpulkan itu ke ‘resting place’ mereka.
Selain kapal Wang Kang yang ditarik beramai-ramai perarakan itu boleh disertai oleh pelbagai komponen seperti permainan muzik dan upacara keagamaan bagi mereka beragama Tao. Menarik perhatian penulis, perarakan itu turut disertai komponen dilihat seperti penjaga kepada Wang Kang iaitu dua ekor naga animatronik yang menyembur air kepada mereka menyaksikan perarakan itu sebagai tanda memberikan berkat kepada mereka. Selain orang tempatan, upacara itu juga menarik perhatian pelancong dari luar negara.
Unik kapal kayu
Upacara Wang Kang masih diadakan antaranya di China dan Taiwan, namun kapal Wang Kang di Melaka amat unik kerana ia diperbuat daripada kayu. “Upacara Wang Kang di Melaka kita warisi adat daripada generasi dahulu menggunakan kapal kayu, ada tempat lain buat kapal daripada kertas dan lain-lain lagi, saiz kapal pula berbeza ada yang besar dan kecil,” jelas Lai.
Wang Kang yang dibawa berarak pada 9 Feb lepas diberi nama panggilan ‘Majestic Barge’ sepanjang 5.8 meter, lebar 2.5 meter dan tinggi lebih 2.0 meter dengan binaan ‘tower’ di tengah setinggi kira-kira 6.0 meter. Anggota tokong-tokong yang terlibat mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan Wang Kang menggunakan kayu merbau dan papan lapis.
Senibina kapal itu menarik perhatian penulis dengan ukiran kepala singa digunakan sebagai kepala kapal bersama kombinasi warna hijau-biru bagi bulu leher singa, dan merah-kuning untuk kepala singa. Mata singa yang diletakkan lampu dan menyala pada waktu gelap dengan lukisan naga dan dewa masyarakat Cina, memperlihatkan keunikkan budaya masyarakat Cina di negeri ini.

Persaudaraan nusantara
Menurut Lai lagi, sukar untuk menentukan secara tepat bila upacara Wang Kang ini bermula di negara China, namun apa yang menarik ialah bagaimana perkataan Wang Kang serta upacara itu dikenali masyarakat di Nusantara ini. “Perkataan Wang Kang wujud dalam Kamus Dewan yang kita gunakan di negara ini, selain itu perkataan yang sama ada dalam bahasa Jawa dan dalam bahasa yang digunakan masyarakat Sulawesi di Indonesia.
“Ini menunjukkan hubungan akrab China dengan kerajaan-kerajaan di Nusantara sejak dahulu lagi apabila masyarakat Nusantara tahu perkataan serta upacara masyarakat di negara China seperti kita sekarang hidup dengan berbilang budaya dan kaum di negara ini,” katanya.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Wang Kang bermaksud ‘perahu besar’ manakala dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua bermaksud ‘si jong kecil’. Lai berkata ini antara bukti kukuh Wang Kang perlu dikekalkan sebagai satu adat untuk generasi akan datang dan didaftarkan sebagai warisan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Kita mahu anak cucu kita tahu apa Wang Kang ini, kita mahu ia dikekalkan supaya pada masa hadapan anak cucu kita juga boleh berdoa sama-sama untuk kesejahteraan hidup semua rakyat,” katanya.
Warisan generasi akan datang
Pada Januari lepas, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kementeriannya akan mencalonkan upa-cara Wang Kang untuk disenarai dalam ‘UNESCO Representive List’. Beliau berkata Wang Kang akan dicalonkan sebagai warisan tidak ketara dalam senarai itu dan kementeriannya melalui Jabatan Warisan Negara dalam proses dokumentasi bagi pencalonan itu.
“Sesuatu warisan lama kalau memenuhi syarat UNESCO semestinya kita akan daftarkan sebagai warisan untuk kepentingan generasi akan datang, kalau tidak ia (warisan itu) akan hilang begitu sahaja,” katanya.
Bagi penulis usaha mengekalkan upacara warisan masyarakat yang berbilang kaum seperti ini perlu dilakukan bagi memastikan keunikkan budaya yang pelbagai dalam kalangan masyarakat di negara ini sentiasa berkekalan. – Bernama