Sunday, January 29, 2023
23 C
Brunei

-

Pelbagai aktiviti diatur menyambut kedatangan pelajar

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Tahun lepas telah menyaksikan para pelajar kembali memulakan sesi persekolahan secara fizikal selepas melangkah ke Fasa Endemik mengikut peringkat dan diperlukan untuk menjalani ujian pantas antigen (ART) di dewan sekolah masing-masing.

Namun pada kali ini, suasana pembukaan hari pertama sekolah sudah hampir normal sepenuh seperti keadaan pra COVID di mana pelbagai aktiviti telah diadakan dalam menyambut kedatangan para pelajar ke sekolah.

“Pihak sekolah ada menyediakan beberapa aktiviti untuk penuntut, jabatan-jabatan akan memberikan aktiviti berunsur ‘ice-breaking’ kepada penuntut pada hari pertama dan kedua persekolahan,” jelas Penolong Guru Kanan Akademik, Sekolah Menengah Lambak Kiri, Dayang Nor Azimah binti Haji Mohammad semasa ditemui Media Permata, hari ini.

Penolong Guru Kanan Akademik Sekolah Menengah Lambak Kiri semasa ditemubual.

“Pihak pentadbiran juga ada menyediakan beberapa program seperti mengenalkan semula siapa guru-guru mereka dan juga mengenai peraturan sekolah,” tambah Dayang Nor Azimah yang juga merupakan guru mengajar subjek Commerce.

Menurut beliau lagi, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) sekolah berkenaan melalui guru-guru kelas juga ada menghantar mesej kepada penuntut mengenai persediaan buka sekolah.

“Pihak sekolah juga ada menyediakan banner untuk menyambut kedatangan penuntut pada hari pertama ini,” tambah beliau.

Seperti lazimnya di sekolah tersebut, Dayang Nor Azimah berkata bahawa semasa perhimpunan pada waktu pagi, pihak sekolah akan mengadakan program keagamaan seperti zikir, solat sunat Dhuha dan Hajat oleh penuntut-penuntut dan warga sekolah.

Suasana di hari pertama persekolahan bagi pelajar-pelajar Sekolah Menengah Lambak Kiri.

“Pihak sekolah juga ada menjalankan program bacaan surah Yasin beramai-ramai semasa perhimpunan pagi ini,” tambahnya lagi yang sudahpun bertugas di sekolah tersebut sejak 14 tahun yang lalu.

Walau bagaimanapun, beliau juga menekankan bahawa sekolah tersebut tetap menjalankan prosedur operasi standard (SOP) di mana warga sekolah termasuk penuntut yang merasa kurang sihat, mengalami gejala sekiranya ada simptom disarankan untuk berada di rumah dan membuat ART mereka dan melaporkannya ke pihak sekolah seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

“Saya merasa sedikit gementar kerana mengetahui bahawa saya akan menduduki peperiksaan O Level pada tahun ini,” demikian dikongsikan oleh salah seorang pelajar Sekolah Menengah Lambak Kiri, Awangku Mohammad Ali Syalihin bin Pengiran Mohammad Ali Redzuan semasa ditanya mengenai perasaannya mengenai hari pertama memulakan persekolahan pada tahun ini.

Salah seorang pelajar, Awangku Mohammad Ali Syalihin ketika mengongsikan perasaannya memasuki persekolahan di hari pertama tahun ini.

Awangku Mohammad Ali Syalihin yang merupakan pelajar Sains Tahun 11, yang juga merupakan seorang Pembimbing Rakan Sebaya sekolah berkenaan turut mengongsikan mengenai persediaan beliau untuk peperiksaan O Level nanti.

“Saya akan lebih banyak bertanya soalan dan meminta tips daripada cikgu-cikgu saya, dan juga saya akan mengulang kaji pelajaran dan membuat nota ringkas ataupun menjawab kertas ujian tahun-tahun lepas,” jelasnya.

Awangku Mohammad Ali Syalihin menasihatkan kepada pelajar-pelajar yang juga akan menduduki peperiksaan O Level pada tahun ini untuk mencuba sedaya upaya dan lakukan apa sahaja yang mungkin dalam persediaan peperiksaan nanti.

“Jangan juga kerja berlebihan kerana kita juga mesti menjaga kesihatan mental dan fizikal kita sebelum kita membuat pelajaran,” tambahnya lagi.

Di hujung temu bual, beliau mengongsikan harapannya untuk mendapatkan lapan O Level nanti, dan berharap akan meneruskan pelajaran nanti ke Pusat Tingkatan Enam.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S sokong hantar bantuan kepada Korea U

SEOUL, 27 JAN – Kerajaan Korea Selatan hari ini berkata bahawa ia akan membantu usaha orang awam untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara...
- Advertisment -