Pelbagai aktiviti, jualan di Stadium Tertutup

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Pra Letop 2018 bakal membuka tirainya esok di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, dengan mengetengahkan 40 buah syarikat termasuk lebih 30 usahawan belia.

Acara anjuran Battle Pro Marketing & Management Services (Battle Pro MMS) dengan membawa tema ‘Memperkasa Keusahawanan Belia’ itu diadakan untuk menyokong usahawan belia.

Menurut kenyataan penganjur, selain menyokong para usahawan tempatan yang mengikuti acara ini terutama sekali para peniaga belia, ia juga menolong memantapkan ekonomi negara, di samping memeriahkan musim cuti sekolah.

Pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk makanan dan minuman yang beraneka, fesyen pakaian terkini, peralatan tulis dan aksesori dan lain-lain lagi akan ditampilkan pada acara tersebut.

Pra Letop 2018 akan menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti Jualan Keusahawanan Belia, aktiviti membaca, aktiviti mewarna, Spelling Bee, Pertandingan Azan, Hafazan Al-Fatihah dan Surah Yasin Ayat 1 hingga 10, aktiviti menunggang kuda, Rumah Pusaka, Hijahiyyah Bina Perkataan, kempen derma darah, ‘1 Guntingan 1 Senyuman’ dan banyak lagi.

Orang ramai yang membeli-belah dengan usahawan-usahawan AkuManang.com juga berpeluang memenangi ASEAN Dream Trip di Pra Letop 2018 di mana pemenang boleh memilih salah satu dari negara ASEAN sebagai destinasi percutian impian mereka.