Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Fokus Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada tahun ini ialah ‘Bersama Memeduli Keluarga’ yang mengetengahkan peranan keluarga dalam pembangunan masyarakat dan negara.
Dengan berfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu meningkatkan work-life harmony, mengukuhkan perlindungan kanak-kanak dan sokongan kepada ahli keluarga, beberapa aktiviti dan inisiatif telah dirancang sepanjang tahun ini dengan kerjasama rakan-rakan strategik secara Whole of Nation.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Keluarga Antarabangsa yang di sambut setiap 15 Mei, telah mengongsi beberapa aktiviti dan inisiatif yang akan diadakan.
Ini termasuk Mu’tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah (MUAFIQ) anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada 8 dan 9 Jun dengan bertemakan ‘Pendidikan Agama Teras Keluarga Bahagia Lagi Sempurna’.
Forum ‘Keluargaku Harapanku’ pula akan diadakan pada bulan ini, dengan kerjasama Al-Huffaz Management.
Garis pandu pusat penjagaan kanak-kanak di bangunan-bangunan kerajaan juga akan diperkenalkan, bagi kemudahan kakitangan yang bekerja dalam bangunan berkenaan menyediakan penjagaan anak-anak tanpa perlu meninggalkan pejabat.
Selain itu, turut diadakan adalah Program Jagaan Keluarga Angkat untuk penjagaan sementara kanak-kanak dan orang muda yang memerlukan perlindungan, untuk memastikan keselamatan dan kebajikan terjaga sehingga selamat untuk dikembalikan kepada ibu bapa kandung.
Tahun ini juga akan menyaksikan pelancaran Daftar Kanak-kanak dan Orang Muda yang memerlukan perlindungan (RCYPNP) di bawah Rangka
Kerja Kebangsaan Perlindungan Kanak-kanak Negara Brunei Darussalam (NFCP) pada 16 Mei.
Kempen Satu Keluarga Satu Pokok dengan kerjasama Green Brunei pula akan diadakan pada Ogos depan, bagi setiap keluarga menanam satu pokok sebagai warisan keluarga masing-masing, dan meningkatkan kesedaran tanggungjawab menjaga persekitaran untuk masa depan keluarga, masyarakat dan negara.
Manakala itu, Festival Keluarga dan Teater Keluarga akan diadakan pada September depan dengan kerjasama persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan, ke arah meningkatkan ikatan kekeluargaan.
Terdahulu dalam perutusannya, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata bahawa Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Keluarga Antarabangsa melalui Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada setiap Ahad pertama dalam bulan Mei sejak 2012 di peringkat negara selaras dengan pengiktirafan unit keluarga sebagai institusi yang terpenting dalam masyarakat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sambutan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan meningkatkan lagi kesedaran terhadap isu-isu berkaitan dengan keluarga, lebih-lebih lagi dalam konteks tren global dan perubahan semasa yang telah dan terus membawa perubahan signifikan kepada struktur institusi keluarga.
Pada tahun ini, ujar beliau, negara berkesempatan untuk mengadakan Majlis Bacaan Doa Kesyukuran dan Surah Yasin sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2022 pada 1 Mei yang lalu.
Oleh yang demikian, Negara Brunei Darussalam amat menyambut baik tema Hari Keluarga Antarabangsa tahun ini iaitu Families and Urbanization.
Secara khususnya, jelas beliau, tema berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya dasar pembandaran yang mampan dan mesra keluarga.
Ianya juga selaras dengan komitmen negara ke arah Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan (SDGs), dalam mana, negara kita bersama negara-negara di bawah PBB berkongsi visi untuk menghapuskan kemiskinan, ketidaksamaan dan ketidakadilan, serta menangani perubahan iklim menjelang 2030.
Ini juga selaras dengan Wawasan Brunei 2035, ke arah mencapai kualiti kehidupan yang tinggi bagi setiap rakyat di negara ini.