Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Pelbagai bidang dikenal pasti boleh tingkatkan hubungan ASEAN-AS

    JAKARTA, 28 SEPT – Hubungan ASEAN-Amerika Syarikat (AS) boleh diperkukuhkan lagi menerusi nilai rantaian global dan peralihan bekalan tenaga di tengah-tengah dinamik geopolitik dan geoekonomi, kata Setiausaha Agung ASEAN, Dato Paduka Lim Jock Hoi.

    Bidang lain yang boleh diterokai termasuk transformasi digital, perubahan iklim dan alam sekitar, kesihatan awam serta memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat, katanya pada Forum Kepimpinan ASEAN CSIS baru-baru ini.

    “ASEAN sedia bekerjasama dengan sektor swasta AS bagi menyediakan dan memudahkan penyusunan semula nilai rantaian global di Asia dan mengambil bahagian dalam transformasi digital,” katanya.

    Program CSIS Asia Tenggara menganjurkan forum berkenaan sempena ulang tahun ke-45 perkongsian itu. Hubungan diplomatik ASEAN-AS telah dimeterai sejak 1977.

    Beliau berkata syarikat AS boleh memanfaatkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah berkuat kuasa pada awal tahun ini.

    Beliau turut menggalakkan ahli perniagaan AS untuk melabur di rantau ini dan menempatkan kemudahan pengeluaran mereka di ekonomi-ekonomi RCEP disebabkan RCEP memudahkan proses kastam.

    AS adalah rakan dagangan dan pelaburan penting ASEAN, dengan jumlah dagangan bernilai AS$364 bilion pada 2021 atau 10.9 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN, menjadikannya rakan dagangan kedua terbesar, katanya.

    Jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing dari AS bernilai AS$40 bilion pada 2021, atau 23 peratus daripada jumlah aliran masuk ASEAN.

    Di sebalik ketidaktentuan semasa, beliau berkata ASEAN yakin mampu mengekalkan momentum pertumbuhannya pada 2022-2023 dengan ramalan pertumbuhan masing-masing pada kadar lima peratus dan 5.2 peratus.

    Dengan populasi lebih 650 juta orang penduduk di ASEAN, kelas pertengahan yang berkembang pesat, serta lebih separuh daripada populasinya berusia di bawah umur 35 tahun, menjadi  pasaran yang sangat menarik, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...