Thursday, December 5, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelbagai cabaran getir untuk orang dewasa menghidap ADHD

    KUALA LUMPUR – Banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan Zulhafiy Zolkipli, mesra dipanggil Hafiy dan dia menganggap itu kerana kepelikan dirinya termasuk berhenti daripada pengajian kolej dan berkahwin pada usia 22 tahun lebih sedekad lalu.

    Dia pernah berniaga tetapi tidak lama kemudian, semuanya lingkup kerana dia lupa membayar pinjaman pelajaran yang diambil untuk memasuki kolej. Dia juga mencuba nasib sebagai ejen harta tanah, yang memang diminatinya tetapi untuk mendapat lesen, dia perlu kembali belajar pada tahun 2017, yang disifatkannya sebagai ‘amat mencabar’.

    Sekali lagi, dia hampir tercicir. Dia tidak faham mengapa sukar betul untuk menghadiri kelas dan memberikan tumpuan, berbanding sewaktu dia di sekolah menengah.

    “Saya salah seorang pelajar terbaik di sekolah, kerana ada struktur. Dengan ADHD (Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif), apabila ada struktur, awda akan berjaya,” dia memberitahu Bernama dalam temu bual di kafe Universiti Malaya. Dia sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Harta Tanah.

    “Tapi bila ikuti pengajian sarjana muda, terus ke laut.”

    Dr Mohd Fadzli Mohamad Isa Presiden (yang dipilih) Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA) semasa ditemu bual wartawan. – Bernama
    Zulhafiy Zolkipli. – Bernama
    Daniel Lew. – Bernama

    Ketika itu Hafiy mengesyaki dia menghidap ADHD tetapi tidak mendapatkan diagnosis rasmi sehingga pada tahun 2020, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 dikuatkuasakan yang menyebabkan dia sukar bertemu dengan pelanggannya. Dia menyifatkan kehidupannya sepanjang tempoh itu sebagai tidak menentu, dan ada kalanya dia menjadi begitu pelupa.

    Sebaik sahaja didiagnosis dengan ADHD, dia yang kini berusia 34 tahun mula membuat penyelidikan tentang penyakit berkenaan. Dia juga mewujudkan kumpulan sokongan komuniti Facebook dengan Nurul Ellia untuk membantu orang dewasa lain atau sesiapa yang mengesyaki mereka mengalami ADHD. Mereka merancang untuk menjadikan kumpulan komuniti Facebook sebagai pertubuhan bukan kerajaan agar kerajaan dan masyarakat lebih mengiktiraf serta menerima mereka.

    Sejak sekian lama, ADHD dianggap sebagai kecelaruan yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak, namun kemudiannya, semakin ramai orang dewasa di Malaysia didiagnosis dengan ADHD. Ia juga salah satu daripada kecelaruan psikiatri paling biasa dalam kalangan orang dewasa dan hampir tidak diiktiraf di Malaysia, termasuk dalam kalangan pihak perubatan.

    ADHD DAN KESAN COVID

    Bukan satu kebetulan iaitu ramai yang Bernama temu bual didiagnosis dengan ADHD sewaktu PKP. Fokus semasa tempoh itu adalah kepada kesihatan mental, seperti kemurungan dan kerisauan. Masalah ADHD orang dewasa, sebahagian besarnya dipinggirkan, meskipun ketika itu permintaan untuk ubat-ubatan ADHD meningkat.

    Sehingga ke hari ini, masih terdapat kekurangan ubat-ubatan ADHD.

    Pakar psikologi klinikal Izzat Zaid memberitahu Bernama, PKP pandemik adalah lebih sukar untuk orang dewasa yang tidak didiagnosis dengan ADHD memandangkan mereka tidak lagi mempunyai akses kepada strategi menangani kecelaruan itu.

    Izzat adalah salah seorang daripada mereka yang bergelut dengan keadaan dan tidak dapat beriadah sekerap seperti sebelumnya. Dia didiagnosis dengan ADHD pada tahun 2021.

    DSM-IV memberi definisi ADHD sebagai kecelaruan perkembangan neuro yang bermula sewaktu usia kanak-kanak dan paling ketara dengan ciri-ciri tidak dapat memberi perhatian, tidak pandai mengurus, hiperaktif dan impulsif/menurut kata hati. Persekutuan Sedunia mengenai ADHD menganggarkan sekitar 5.9 peratus remaja dan 2.5 peratus orang dewasa mempunyai ADHD.

    Pesakit secara umumnya dikategorikan kepada tiga jenis iaitu hiperaktif dan impulsif/menurut kata hati, kurang daya tumpuan atau dan kombinasi kedua-duanya. Para pakar menekankan bahawa ADHD menjejaskan fungsi eksekutif, bukan kepintaran.

    Sebagai contoh, Bill Gates, pengasas Microsoft, menghidap ADHD.

    Di Malaysia, kadar ADHD dalam kalangan kanak-kanak adalah antara 1.6 peratus hingga 4.6 peratus, berdasarkan angka tahun 2020, meskipun pakar perubatan percaya jumlah sebenar adalah lebih tinggi.

    Izzat, yang turut membuat penilaian ADHD, berkata, jika tidak dirawat, ADHD boleh mengakibatkan pelbagai gangguan psikiatri, seperti kerisauan dan kemurungan.

    KESUKARAN MENDIAGNOSIS

    Bagi menerima rawatan serta intervensi, seseorang itu perlu didiagnosis terlebih dahulu. Bukan mudah untuk mendapatkan diagnosis. Itu kerana hanya pakar psikiatri klinikal dan pakar sakit jiwa yang boleh membuat diagnosis dan bilangan mereka di Malaysia amatlah tidak mencukupi.

    Malaysia mempunyai kurang daripada 1 (0.52) pakar sakit jiwa bagi setiap 100,000 orang, demikian menurut laporan berita. Nisbah yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah seorang pakar sakit jiwa bagi 10,000 orang. Untuk pakar psikologi klinikal, Pertubuhan Bantuan Kesihatan Mental dilaporkan berkata, terdapat kira-kira 300 pakar psikologi klinikal berdaftar di Malaysia pada tahun 2022.

    Di sebalik lebih banyak kesedaran dan penerimaan di Amerika Syarikat, namun masih belum ada garis panduan yang jelas bagaimana untuk mendiagnosis orang dewasa dengan ADHD. Keadaannya adalah sama di Malaysia ditambah dengan hakikat sesetengah profesional kesihatan mental tidak percaya orang dewasa boleh menghidap ADHD.

    “Jika anda tidak menghidap ADHD semasa usia kanak-kanak, ianya hampir mustahil untuk mendapatnya semasa dewasa. Itu perkara yang diajar secara umum.

    Itu jugalah yang diterima pakai oleh ramai pakar sakit jiwa di Malaysia,” kata Dr Mohd Fadzli Mohamad Isa, Presiden (yang dipilih) Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA).

    Beliau akur bahawa orang dewasa yang mahu mendapatkan diagnosis ADHD mungkin bukan sahaja baharu mengetahui tentang simptom tetapi tidak didiagnosis semasa kanak-kanak kerana pelbagai sebab termasuk kurang kesedaran ibu bapa dan guru serta stigma.

    Oleh yang demikian, pakar sakit jiwa atau pakar psikologi terlatih di hospital, pada peringkat awal akan memeriksa simptom dan menemu bual ibu bapa, adik beradik dan juga guru untuk mendapatkan maklumat sejarah tingkah laku serta pencapaian mereka.

    Ciri kelayakan pertama ialah mesti ada simptom dari sebelum usia 12 tahun.

    Namun apa yang berlaku memori boleh pudar dan orang meninggal dunia. Dalam keadaan itu, beliau berkata, pakar sakit jiwa dan pakar psikologi terlatih di hospital, terlebih dahulu akan menimbangkan kemungkinan gangguan psikiatri yang lain dan menghapuskan gangguan itu terlebih dahulu.

    Beliau menambah, kliniknya di Shah Alam menyaksikan peningkatan bilangan orang dewasa yang datang untuk mendapatkan diagnosis ADHD.

    Di klinik swasta, proses sedemikian adalah lebih pendek tetapi lebih mahal. Sesetengah doktor tidak mewajibkan untuk mendapat sejarah daripada ibu bapa dan guru, sebaliknya mendiagnosis pesakit dengan menilai simptom serta sejarah tingkah laku mereka.

    Kekurangan garis panduan meningkatkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah pihak bahawa ada yang didiagnosis menghidap ADHD, mungkin tidak mempunyai kecelaruan itu atau sama ada diberi ubat-ubatan yang salah atau tidak mendapat rawatan yang betul.

    Bagaimanapun, kesukaran untuk mendapatkan diagnosis ADHD bukan terhenti setakat itu.

    Untuk mengambil ubat-ubatan juga menelan kos yang tinggi, kerana pesakit perlu membeli ubat mereka dari farmasi swasta akibat bekalan yang terhad di fasiliti kerajaan.

    JAWAPAN DAN KEKECEWAAN

    Salah satu komen paling banyak yang Bernama dengar sewaktu menemu bual mereka yang menerima diagnosis ADHD dalam usia dewasa ialah mengapa. Sekiranya kebanyakan kes ADHD adalah melibatkan kanak-kanak, mengapa mereka sendiri lewat didiagnos? Kenapa tidak ada yang perasan tentang perkara itu semasa mereka masih kanak-kanak?

    Penyelidikan menunjukkan diagnosis yang dibuat lewat mungkin kerana simptom yang sederhana dalam kalangan orang yang bijak pandai serta berjawatan tinggi, yang mampu menyembunyikan atau menangani kecelaruan ini sehingga tidak dapat dikendalikan lagi.

    Malahan ketika itu pun, mereka mampu mengawal keadaan sehinggalah berlaku sesuatu yang drastik.

    Menurut Dr Fadzli, tuntutan kehidupan sebagai orang dewasa, dengan kerja dan keluarga, tanpa struktur yang ketat, boleh menjadi terlalu menekan untuk sesetengah orang dewasa yang menghidap ADHD.

    “Sesetengah daripada mereka benar-benar mengalami kesukaran di tempat kerja, terutama apabila mereka meningkat ke jawatan tinggi. Itu sebabnya mereka pergi berjumpa doktor,” katanya.

    Ianya juga mungkin bergantun g kepada jenis ADHD yang dihidapi oleh seseorang itu.

    Inattentive ADHD adalah jenis ADHD paling biasa dan ia adalah salah satu sebab mengapa sesetengah kanak-kanak tidak dapat dikesan simptomnya, terutama jika mereka tidak mengalami masalah belajar. Dalam kebanyakan kes, mereka akan dikategorikan sebagai ‘rendah prestasi’.

    “Bagi jenis attentive, saya dapati mereka mudah kurang didiagnosis kerana mereka tidak mengganggu orang atau kelas. Mereka hanya memandang kosong ke papan hitam dan guru pun tidak memberi perhatian kepada mereka, berbanding kanak-kanak yang hiperaktif kerana mereka banyak menimbulkan masalah,” kata Dr Fadzli.

    Menurut penyelidikan, orang yang mempunyai jenis ADHD yang begini biasanya kanak-kanak perempuan, yang lebih pandai menyembunyikan keadaan diri mereka kerana tekanan masyarakat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda