BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Bank Standard Chartered (SCB) akan menyertai Pesta Pelancongan Brunei yang bakal diadakan pada 26 dan 27 Ogos ini di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas di mana pemegang kad kredit dan debit SCB layak untuk menerima hadiah-hadiah menarik dengan perbelanjaan terkumpul sebanyak $1,000 di pesta berkenaan.
10 bagasi American Tourister, 50 beg American Tourister Puzzle Cube dan 40 beg galas Targus Roller boleh dituntut oleh 100 pemegang kad kredit dan debit terawal yang menunjukkan resit-resit dan slip jualan kad terkumpul mereka di petak Standard Chartered, menurut kenyataan yang dikeluarkan SCB, hari ini.
Kenyataan menambah, pemegang Kad Kredit Standard Chartered yang membuat sebarang pembelian dengan kad-kad mereka semasa pesta berkenaan dan memilih untuk menukar pembelian mereka kepada Pelan Ansuran EasyPay 0% selama enam bulan juga akan menikmati pengecualian bayaran pemprosesan.
Pelanggan yang berminat untuk mendaftar bagi Kad Kredit Standard Chartered juga akan menerima pengecualian bayaran selama tiga tahun dan baucar Supa Save bernilai sehingga $120 serta set sanitari percuma.
Ketua Produk dan Segmen Runcit SCB, Wong Li Li dipetik sebagai berkata, “Pesta Pelancongan Brunei memberikan peluang baik untuk pelanggan-pelanggan berpotensi mendaftar produk-produk kad kredit kami atau mengetahui lebih lanjut mengenai produk-produk kami yang lain semasa pesta berkenaan.
“Kad kredit kami menawarkan ganjaran-ganjaran menarik serta diskaun-diskaun dan faedah di lebih 600 rakan hampir di seluruh bandar-bandar di Asia. Pemegang Kad Debit Visa Standard Chartered juga boleh menikmati tawaran-tawaran dan keistimewaan di lebih 3,000 cawangan seluruh pasaran Standard Chartered di ASEAN dan Asia Selatan, termasuk Brunei,” tambahnya.
Kenyataan menjelaskan, untuk menuntut mana-mana hadiah, pelanggan kad Standard Chartered mesti menunjukkan resit-resit mereka di petak bank berkenaan. Petak SCB akan beroperasi di pesta tersebut dari 9 pagi hingga 7 malam sepanjang acara berkenaan.