Pelbagai juadah berbuka sempena Ramadan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Dalam meraikan suasana kemeriahan bulan suci Ramadan, Wafa Hotel & Apartment tidak terlepas dalam menawarkan juadah berbuka puasa di sepanjang bulan mulia ini.

Bufet sungkai yang ditawarkan di Kompleks Annajat menjanjikan kepuasan kepada setiap pengunjung dengan variasi makanan berupa sajian makanan tempatan dan antarabangsa bermula dari hidangan pembuka selera, sajian makanan utama dan juadah pencuci mulutnya.

Ketika ditemui pihak Media Permata, Ketua Cef, Ali Surya Gandhi menjelaskan bahawa tahun ini bufet sungkai mereka mempunyai sedikit kelainan dari sebelumnya dengan menambah beberapa pondok makanan yang dihidangkan secara langsung (live cooking) seperti ambuyat, roti canai dan mi sup selain menu bufet yang sentiasa berubah setiap hari.

Antara menu kegemaran ramai ialah daging rendang yang sememangnya popular di kalangan pengungjung hotel berkenaan. Turut menarik perhatian ialah kambing panggang dan sate yang dihidangkan secara langsung khas buat pelanggan yang hadir.

Tahun ini sungkai bufet juga diserikan lagi dengan sesi tazkirah daripada penceramah undangan tempatan dari Al-Huffaz Management sementara para pelanggan menunggu waktu berbuka puasa tiba.

Antara hidangan berbuka puasa yang disediakan. – Gambar oleh Muiz Matdani