Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Universiti Teknologi Brunei (UTB) diharap akan dapat terus menyediakan pelbagai kaedah pembelajaran dan pengajaran termasuk secara dalam talian dan hibrid agar mampu menyesuaikan diri dan berdaya tahan dalam menempuh cabaran dan menjadi Pandemic Proof University of the Future.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen UTB ke-10 2022 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Selain itu, Baginda turut mengambil maklum mengenai program Post-graduate Micro-credentials yang ditawarkan oleh UTB, di mana program-program tersebut disifatkan sebagai personalised learner’s journey dan ia akan memberi peluang kepada graduan menerima sijil, diploma atau ijazah sarjana dalam tempoh masa yang fleksibel.
Menyentuh mengenai kesan pandemik, Baginda mendapati kesan positif pandemik terhadap transformasi digital di institusi-institusi pengajian tinggi di negara ini, yang menyaksikan pembelajaran dan pengajaran telah dijalankan dalam talian secara sepenuhnya.
Ini sekali gus telah memacu pihak kerajaan untuk menyediakan infrastruktur Internet jalur lebar yang pantas, untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran.
Mengenai dengan ranking UTB, Baginda Sultan merakamkan ucapan syabas atas kejayaan UTB yang berjaya meraih kedudukan 340 di QS World University Rankings, kedudukan 85 di Asia dan 16 di Asia Tenggara.
UTB juga berada di tangga kelima di antara universiti-universiti kejuruteraan dan teknologi di Asia Tenggara.
Menurut Baginda Sultan, kejayaan itu menjadi bukti bahawa UTB mampu bersaing di rantau walaupun masih muda dalam arena antarabangsa.
“UTB dilihat masih ada peluang untuk memperbaiki kedudukannya dengan menyusun semula strategi bagi menaikkan reputasi akademiknya, terutama dalam bidang penyelidikan,” tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Sehubungan itu, Baginda difahamkan bahawa UTB sedang giat memperkenalkan projek-projek penyelidikan terkini yang sejajar dengan kepentingan negara.
“Beta gembira, UTB telah memulakan projek penyelidikannya bersama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, dalam penanaman padi menegak atau vertical rice farming yang berintegrasikan teknologi Internet of Things yang inovatif,” titah Baginda.
Selain itu, pada tahun 2021 penerbitan kertas-kertas penyelidikan daripada staf akademik UTB telah meningkat dan terus menampakkan perkembangan positif pada tahun 2022.
Sehubungan itu, Baginda berharap perkembangan positif tersebut akan terus dikekalkan.
Di penghujung titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga UTB, yang merangkumi ahli-ahli majlis dan senat, naib canselor, pegawai-pegawai utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan di atas segala sumbangan dan khidmat mereka.
“Beta berdoa semoga Allah SWT akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda,” titah Baginda.