Pelbagai kesalahan dicatat dalam operasi

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Sebanyak 39 kesalahan lalu lintas telah dicatatkan dalam operasi sepadu sekatan jalan raya yang dijalankan di kawasan KM 40.1 Lebuh raya Tutong hala ke Muara, baru-baru ini.

Operasi yang melibatkan seramai 27 anggota dan ahli serta pegawai dari Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) itu telah diketuai oleh Ketua Unit Penguat kuasa JSKLL, Timbalan Penguasa Polis, Ang Lay Bee.

Hasil daripada sekatan itu, JSKLL telah merekodkan sebanyak 27 kesalahan kompaun melibatkan lesen memandu mansuh, pemakaian pelekat plastik filem atau tabir serta satu kesalahan doket di bawah Seksyen 3 (1) Akta Insurans Kenderaan Motor Penggal 90 iaitu kereta tidak dilindungi insurans.

Manakala itu, JPD merekodkan sebanyak 20 kenderaan ditahan dan diperiksa, di mana 11 tindakan kompaun dikenakan atas pelbagai kesalahan yang melanggar peraturan dan Akta Lalu lintas Jalan Raya Penggal 68 seperti kenderaan tidak layak dari segi keselamatan, kenderaan dalam keadaan tidak baik dan membawa lebih daripada muatan.

Pegawai Penguat kuasa Kanan, JPD, Pengiran Khairul Yusra bin Pengiran Haji Muhd Yusuf berkata antara tujuan pihak JPD mengendalikan operasi itu adalah untuk memastikan lesen-lesen memandu dan kenderaan dalam keadaan sah di samping meningkatkan keselamatan lalu lintas jalan raya.

Anggota polis ketika menjalankan sekatan di lebuh raya, baru-baru ini.
Anggota penguat kuasa ketika menjalankan pemeriksaan ke atas salah sebuah kenderaan.

Sementara itu, hasil daripada siasatan pihak polis juga mendapati kebanyakan daripada kemalangan yang berlaku adalah berpunca daripada sikap pemanduan yang cuai sehingga boleh membawa kepada hilang kawalan terhadap kenderaan yang dipandu.

Kecuaian di sini juga membawa kepada tiada pemahaman ataupun kurang perhatian yakni lalai sewaktu memandu seperti menggunakan telefon bimbit serta memandu melebihi had kelajuan yang membawa kepada kemalangan yang tidak dapat dielakkan.

Manakala, hasil daripada siasatan kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian juga mendapati dipercayai kesemua mangsa yang terlibat tidak menggunakan tali pinggang keselamatan sama ada daripada kalangan pemandu mahupun sebagai penumpang.

Turut didapati, rata-rata kecederaan yang dialami para mangsa adalah kecederaan parah di bahagian kepala.

Pihak berkuasa seperti PPDB dan JPD akan berusaha dari semasa ke semasa mempertingkatkan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain dalam memastikan keselamatan di jalan raya terjamin.