Pelbagai kesalahan dicatatkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Beberapa orang pemandu telah dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68 semasa operasi sekatan jalan raya yang telah dikendalikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) secara berasingan di beberapa lokasi.

Di Daerah Tutong, sebanyak 14 kompaun telah dikeluarkan dalam sekatan yang dijalankan oleh Balai Polis Tutong dengan diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Alif Nur Khaliq bin Haji Mat Rasil.

Antara kesalahan yang dicatatkan ialah pemandu tidak melekatkan lesen kenderaan, tayar nampak benang serta lampu brek tidak menyala.

Di Daerah Belait, Ibu Pejabat Daerah Polis Belait turut menjalankan sekatan jalan raya di kawasan Lorong 14 Panaga Daerah Belait dengan melibatkan 11 orang keanggotaan.

Semasa sekatan itu, sebanyak 20 buah kenderaan telah diperiksa bagaimanapun, tidak ada pelanggaran Akta Lalu Lintas Jalan Raya didapati.

Di Daerah Brunei dan Muara, enam orang pemandu telah diambil tindakan dalam sekatan jalan raya yang telah dikendalikan oleh keanggotaan Balai Polis Pusat di kawasan Jalan Residency, Bandar Seri Begawan.

Operasi sekatan yang melibatkan seramai 12 orang anggota balai itu juga telah membuat pemeriksaan ke atas kira-kira 100 buah kenderaan.

Di samping itu, Balai Polis Muara turut mengendalikan sekatan jalan raya di kawasan Jalan Muara dan diakhiri dengan tanpa sebarang kesalahan dicatatkan.

PPDB akan sentiasa menjalankan sekatan-sekatan seumpamanya dalam meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan mematuhi segala peraturan lalu lintas di negara ini.

Anggota PPDB ketika menjalankan sekatan jalan raya di salah satu lokasi di negara ini. – Gambar serahan PPDB