Pelbagai kesalahan direkodkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Sebanyak 99 kes kesalahan kompaun, tiga kes doket diambil tindakan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) dan daerah polis, 18 kesalahan di bawah Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPD) serta dua orang ditahan di bawah Akta Biro Kawalan Narkotik (BKN) hasil daripada operasi yang lancarkan di seluruh daerah.

Operasi di Daerah Brunei dan Muara itu diketuai oleh Pemangku Ketua Bahagian Operasi dan Penguatkuasaan JSKLL, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Ang Lay Bee.

Manakala itu, di daerah-daerah lain operasi diketuai oleh pegawai siasatan lalu lintas daerah polis masing-masing.

Tumpuan lokasi adalah di kawasan Lebuhraya Muara Tutong dan Lebuhraya Hassanal Bolkiah bagi Daerah Brunei dan Muara sementara bagi Daerah Belait pula kawasan tumpuan adalah Inland Container Depot Sungai Tujoh.

Manakala di Daerah Tutong, operasi dikendalikan di kawasan lebuhraya hala ke Tutong dan bagi Daerah Temburong pula operasi tertumpu di Pos Kawalan Sempadan Labu.

Operasi melibatkan 121 orang pegawai dan anggota dari kesemua agensi itu juga dilancarkan meningkatkan disiplin masyarakat sebagai pengguna jalan raya serta memastikan undang-undang yang diperuntukkan ke atas agensi-agensi yang terlibat dilaksanakan dan dipatuhi dengan sebaiknya.

Operasi semalamam yang juga melibatkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), JPD, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsa-an (JIPK), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU), Biro Kawalan Makanan Halal (BKMH), Bio Security Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta keanggotaan Polis Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) itu dijalankan serentak di seluruh negara sempena musim cuti persekolahan.

PDB dalam pada itu menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka.

Sebuah kereta sedang diperiksa oleh anggota polis semasa operasi baru-baru ini.