Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Pelbagai khasiat teh herba Sambah Bagangan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kebiasaan meminum teh bukan hanya untuk menghilangkan haus semata-mata namun meminumnya memiliki banyak manfaat yang antaranya mampu melegakan tubuh dan minda, meningkatkan sistem imun, detoksifikasi tubuh dan sebagainya.

    Menyedari mengenai khasiat teh itu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang, Daerah Tutong telah mengeluarkan satu jenama produk Teh Herba 3 Minuman Penuh Khasiat (3MPK) sejak tahun 2011 lagi melalui program perekonomian Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

    Teh dari daun pokok Sambah Bagangan

    Sebagai inisiatif pengeluaran produk minuman tersebut, MPK Kampung Kiudang telah memanfaatkan sejenis tumbuhan liar iaitu pokok Sambah Bagangan yang didapati tumbuh di kawasan tanah tinggi Taman Rekreasi Wasai Bedanu. Daun-daunnya diproses untuk dijadikan bahan asas kepada teh herba sehingga menjadi salah satu produk 1K1P kampung berkenaan.

    Sambah Bagangan dikenali dengan nama saintifiknya Aidia Racemosa (Cav.) Tirveng iaitu spesies tumbuhan herba tergolong dalam jenis Rubiaceae yang kebiasaannya tumbuh di lereng-lereng bukit yang memiliki tanah liat dan tumbuhan ini dapat hidup dengan menerima cahaya matahari sepenuhnya dan juga terlindung di bawah pokok-pokok besar yang bertindak sebagai kanopi.

    Daun dari pokok tersebut apabila diproses menjadi minuman maka ia mampu bertindak sebagai ubat bagi kesihatan tubuh badan. Antaranya penawar bagi gastrik, meningkatkan stamina, melegakan sakit-sakit otot dan sendi, serta mampu mengurangkan toksik dalam badan.

    Tidak begitu kompleks, kualiti dititikberatkan

    Dari segi pemprosesan teh herba berkenaan, mengimbas kembali kenangan semasa penulis berpeluang melawat perusahaan Teh Herba 3MPK sekitar Kampung Kiudang, pengusaha produk itu menjelaskan bahawa pada asalnya beliau hanya menggunakan teknik manual sepenuhnya namun kini sudah dilengkapi dengan mesin-mesin yang canggih bagi memudahkan lagi dalam penghasilan produk, di samping untuk memenuhi permintaan orang ramai di negara ini yang semakin menggalakkan.

    Penulis turut menyaksikan, sebelum proses pengisaran dilakukan menggunakan mesin pengisar, daun-daun yang diperoleh dari pokok Sambah Bagangan itu perlu dibersihkan dan keringkan terlebih dahulu, seterusnya baharulah dibungkus (uncang) dengan mesin khas yang memiliki tiga perisa iaitu asli, serai dan juga halia.

    Sememangnya proses-proses tersebut tidak terlalu kompleks namun apa yang pasti perusahaan ini begitu menitikberatkan kualiti produk yang dihasilkan terutamanya dari segi kebersihan agar penggunaannya terjamin selamat untuk dikonsumsi semua lapisan masyarakat.

    Daun Sambah Bagangan menjadi bahan asas bagi produk Teh Herba 3MPK iaitu salah satu jenama produk di bawah MPK Kampung Kiudang, Daerah Tutong sejak tahun 2011 lagi melalui program perekonomian 1K1P.

    Apabila diproses menjadi minuman maka ia mampu bertindak sebagai tonik atau ubat bagi kesihatan tubuh badan secara menyeluruh.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...