Pelbagai lagi sumbangan diterima

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Sumbangan terus diterima daripada pelbagai pihak yang prihatin di negara ini bagi membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa sebanyak 5,000 pelitup muka, 2,400 pasang sarung tangan, 1,000 pelindung muka dan 1,000 unit ujian ART telah diterima daripada Bank Baiduri.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa sumbangan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengembangan Perniagaan) Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan, Berakas, hari ini.

Kementerian Kesihatan juga menerima sumbangan daripada tiga penyumbang yang terdiri daripada penyumbang peribadi pada 11 Oktober lalu. Penderma-penderma berkenaan ialah hamba Allah yang menyumbangkan pelbagai jenis biskut; Rezeki Bahirah menyumbangkan tong sampah dan air minum botol besar serta seorang lagi hamba Allah menyumbangkan pelbagai jenis minuman kotak.

Pengiran Azaleen menyampaikan sumbangan kepada Haji Maswadi dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan, Berakas, kelmarin.
Wakil Rezeki Bahirah bersama sumbangan berupa tong sampah dan air minum botol besar.