Pelbagai lagi sumbangan diterima

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Pelbagai pihak terus tampil ke hadapan memberi bantuan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa kementerian berkenaan telah menerima sumbangan sebanyak 100 unit scrub daripada Kedutaan Vietnam di Negara Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Duta Besar Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Van Khoa kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin, kelmarin.

Pada majlis sumbangan yang diadakan di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan, Berakas, Asterix United (B) Sdn Bhd telah menyampaikan sumbangan sebanyak 10 unit Lumenizer 300 UVC Lamp yang juga diterima oleh Haji Maswadi.

Kementerian Kesihatan turut menyatakan bahawa beberapa sumbangan turut diterima daripada lapan penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta dan penyumbang persendirian pada 29 dan 30 September lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah Hajah Noraini binti Haji Mohd Daud yang menyumbangkan pencuci tangan; Dayang Noor Faezuana binti Mohd Ali menyumbangkan peket untuk kanak-kanak; hamba Allah yang menyumbangkan pelitup muka; Belia Masjid Prihatin menyumbangkan lampin orang dewasa, beg sampah, pencuci lantai, cecair pencuci pakaian, pencuci tangan, bateri, pensanitasi tangan, mi segera, biskut dan minuman ringan; Pengiran Khairulhazman menyumbangkan lampin; hamba Allah yang menyumbangkan milo, biskut, minuman kacang soya, coklat, jus oren dan jus epal; Dayang Nurul Afizah Ahmad menyumbangkan air minum dan Hiseaton Fisheries (B) Sdn Bhd menyumbangkan pelitup muka.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyarankan orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan supaya berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Haji Maswadi menerima sumbangan daripada Kedutaan Vietnam di Negara Brunei Darussalam yang disampaikan oleh TYT Tran Van Khoa.
Wakil Belia Masjid Prihatin bergambar bersama sumbangan mereka.