Pelbagai pihak terus hulur sumbangan

Oleh Sim Y. H., Ak Zaki Kasharan & Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Usaha kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan dalam membendung gelombang kedua penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang menghulurkan berbagai-bagai jenis sumbangan.

Kementerian Kesihatan telah menerima pelbagai sumbangan seperti telefon bimbit, kerusi roda, pelitup muka, plastik sampah, bantal, katil, apron, sarung tangan, lokar, cecair pensanitasi tangan, barangan mandian, barangan elektrik, barangan makanan dan sebagainya daripada penyumbang individu dan syarikat-syarikat swasta pada dalam tempoh tiga hari hingga kelmarin.

Para penderma terdiri daripada Y.M.R.M Enterprise, Royal Brunei-People & Performance, OKKY Jewelry, Sopan Enterprise Sdn Bhd, Standard Orion Services, Afima Express, Hotel Al-Afiah, Basmalah Enterprise, Brunei Gas Carriers (BGC), Borneo Middle East Trading Company, SS3D Scanning & Printing Company, Royal Brunei Technical Services (RBTS), Digital World Enterprise, Society of Anaesthesiologists, Brunei Darussalam, Hart Medical Clinic, First Emporium & Supermarket, Pro-Builder Sdn Bhd, Kafeinco Mori Enterprise, Sunshine Trading Company, Koperasi Bistari Bhd, Medipharm Sdn Bhd dan Steel Phoenix Sdn Bhd.

Sumbangan syarikat-syarikat berkenaan merupakan usaha tanggujawab sosial korporat masing-masing untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Sementara itu, penyumbang persendirian pula termasuk Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Leong Ying Yoon, Adrian Leong Wen Chien, Cas Kooh, Suzen Louw, Liow Jia Chian, Haji Musthapa bin Haji Matahir, Jolin Ho, Al-Abrar dan Hajah Norhayati binti Haji Siput.

TYT Dr Sujatmiko bergambar bersama sumbangan yang disampaikan kepada Kementerian Kesihatan.
Sumbangan daripada orang ramai diagihkan kepada penerima.
Wakil First Emporium bersama sumbangan mereka.

Turut menyampaikan sumbangan ialah Kedutaan Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam yang menyumbangkan linen, selimut, katil, kerusi plastik, zipper bag, jupiter suits, PPE, head cover, pensanitasi tangan, pelitup muka dan pelindung mata yang merupakan hasil kutipan daripada Persatuan Masyarakat Indonesia (PERMAI) di Negara Brunei Darussalam. 

Sumbangan telah diserahkan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin di Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, theanggunsisters.bn turut tampil ke hadapan untuk sama-sama meringankan lagi bebanan pihak-pihak berkepentingan dengan menjadi perantaraan dalam menyumbangkan bantuan demi kebajikan, keperluan terutama pesakit dan mereka yang terjejas sama ada daripada kehidupan harian dan sebagainya.

Wakil dari theanggunsisters.bn, Pengiran Shazwani Pengiran Sufri ketika ditemu bual antara lain berkata, pihak mereka sangat memerlukan tuala dan selimut buat para pesakit yang ditempatkan di pusat pengasingan di Kem Latihan Pusat Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong selain barang asasi lain.

Selain itu, jelasnya, pihaknya membuat inisiatif untuk mengumpulkan dana bagi membantu keluarga yang memerlukan dan juga para peniaga kecil dan sederhana yang terkesan berikutan pandemik yang melanda sekarang ini.

Bantuan juga tidak terkecuali buat para barisan hadapan yang bertungkus lumus berkorban masa dan seumpamanya demi negara.

Orang ramai yang berkesudian untuk sama-sama menghulurkan sumbangan atau beramal bolehlah menghubungi Pengiran Shazwani Pengiran Sufri di talian 8320272.