Pelbagai sebab pelajar belum terima vaksin

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Setakat ini, terdapat sekitar 3 peratus pelajar yang belum lagi menerima vaksinasi mereka atas pelbagai sebab-sebab tertentu.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman berkata, antara sebabnya adalah seperti mengalami masalah kesihatan semasa dijadualkan untuk menerima vaksinasi, menjalani perintah kuarantin dan juga berdepan masalah kejadian banjir baru-baru ini.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato semasa sidang media hari ini menyatakan mereka yang belum mendapatkan vaksinasi masing-masing adalah dinasihati untuk menghubungi kembali sekolah masing-masing bagi mendapatkan temu janji untuk vaksinasi berkenaan serta juga bagi memudahkan sekolah-sekolah untuk memantau jumlah sebenar pelajar-pelajar mereka yang telah divaksinasi.

Manakala itu, beliau turut mengongsikan sebanyak 99.2 peratus pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan telah menda-patkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan jumlah kakitangan yang telah mendapatkan vaksinasi yang lengkap iaitu dua dos vaksin ialah 92.1 peratus.

Dalam hubungan itu, Kementerian Pendidikan menyeru kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kementerian yang belum mendapatkan vaksinasi mereka untuk mendapatkannya supaya dapat sama-sama melindungi.

Seruan itu dibuat ketika menjawab persoalan yang dikemukakan mengenai status vaksinasi bagi pegawai dan kakitangan kementeriannya.

Sementara itu, mengulas mengenai jumlah pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi yang telah menerima vaksin mereka, Yang Berhormat Dato mendedahkan sebanyak 95 peratus pelajar institusi pengajian tinggi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala mreka yang telah menerima dua dos vaksin ialah seba-nyak 72 peratus.

Beliau menyatakan pihak institusi pengajian tinggi telah pun menghubungi pelajar-pelajar yang belum menerima vaksin serta menasihati mereka mendapatkannya supaya dapat mengikuti pengajian secara fizikal pada fasa seterusnya.