Pelbagai sumbangan diterima

Oleh Ak Zaki Kasharan

TUTONG, 14 SEPT – Para petugas barisan hadapan COVID-19 Daerah Tutong terus menerima sumbangan kelengkapan pelindung diri daripada pelbagai pihak dan masyarakat di daerah ini.

Pada hari ini, sebanyak 70,000 helai pelitup muka, 20,000 helai sarung tangan dan 1,500 unit pelindung muka telah disumbangkan oleh Masyarakat Tiong Hwa Daerah Tutong.

Sumbangan berkenaan dikendalikan melalui platform projek Inisiatif Pakai Mask yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Daerah Tutong, Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong, Sukarelawan Daerah Tutong dan Pergerakan Belia Tutong IMPAK.

Hadir bagi menerima sumbangan di Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, Pekan Tutong ialah  Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin yang kemudiannya menyampaikan sumbangan tersebut kepada wakil-wakil petugas barisan hadapan bagi Pusat Pengasingan Kebangsaan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Tutong, COVID Holding Area Mahad (CHAM), pusat vaksinasi Daerah Tutong dan Pusat Dialisis Tutong.

Pemangku pegawai Daerah Tutong menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan dilaksanakan bukan saja untuk meningkatkan kesedaran masyarakat di Daerah Tutong tetapi juga bagi orang ramai secara keseluruhannya agar patuh menggunakan pelitup muka semasa negara dilanda pandemik.

Pemangku pegawai Daerah Tutong semasa menerima sumbangan tersebut. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

Beliau juga seterusnya berharap agar orang ramai dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa agar dapat mengurangkan penularan wabak pada masa ini.

Projek Inisiatif Pakai Mask melalui strategi Jaga Keselamatan Kami, Jaga Keselamatan Semua mempunyai tiga inisiatif utama iaitu Kempen Pakai Pelitup Muka iaitu memberikan kesedaran kepada masyarakat akan kewajiban memakai pelitup muka, Kempen Sumbangan Pelitup Muka iaitu memberikan sumbangan pelitup muka kepada masyarakat yang memerlukan termasuk petugas barisan hadapan dan Face Mask Drop Off Point iaitu mengadakan pusat penerimaan sumbangan pelitup muka daripada orang ramai.

Setakat ini lebih 1,200 helai pelitup muka telah diagihkan kepada orang ramai melalui Kempen Pakai Pelitup Muka yang telah dilaksanakan baru-baru ini.

Sementara itu bagi orang ramai yang ingin menyumbangkan pelitup muka bolehlah menyumbangkannya di Drop-Off Point, Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, Jalan Enchi Awang Pekan Tutong jam 9 pagi hingga 2 petang atau dengan menghubungi talian 8836893 atau 7372043.