Pelbagai sumbangan diterima

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Pelbagai sumbangan terus dihulurkan kepada Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa kementerian berkenaan telah menerima barangan sumbangan seperti scrubs, pelitup muka fabrik, pelitup muka pakai buang, pelitup muka N95 dan pensanitasi yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin, kelmarin.

Kementerian Kesihatan turut menyatakan bahawa 10 penyumbang yang terdiri daripada syarikat-syarikat swasta dan individu turut menghulurkan sumbangan pada 9 September lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah Brunei Liquified Natural Gas Sdn Bhd (Brunei LNG) yang menyumbangkan unit penyaman udara; Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) menyumbangkan pemanas air; Hamba Allah yang menyumbangkan sarung bantal; Anna Sim & Rakan-rakan menyumbangkan pelitup muka pakai buang dan pensanitasi; Deana menyumbangkan kemeja T lelaki, pakaian perempuan, jaket dan seluar; OKKY Jewelery menyumbangkan Rak Mona; Petir Management Services dan Liya Noor menyumbangkan scrubs; Aewon menyumbangkan baju kemeja T dan seluar serta Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) yang menyumbangkan katil, bantal dan tilam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan, boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Haji Maswadi menerima sumbangan barangan yang disampaikan oleh TYT Ajaneesh Kumar.
Katil, bantal dan tilam yang disumbangkan oleh BSP.
Unit penyaman udara yang telah disumbangkan Brunei LNG.
Sumbangan alat pemanas air daripada BSM.