Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Kementerian Kesihatan terus menerima pelbagai sumbangan daripada para penderma dalam membantu pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di negara Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, menyatakan bahawa sumbangan-sumbangan daripada penyumbang individu dan syarikat swasta berkenaan telah diterima pada 12 dan 14 Disember.
Para penderma terdiri daripada Chloe Sim yang menyumbangkan makanan dan minuman, Dayangku Siti Khojatoleslam dan Awang Muhammad Danish Ihtisamuddin bin Mohd Borhanudin yang menyumbangkan air minuman botol dan minuman tenaga, serta Yesfull Care Centre yang menyumbangkan pelitup muka dan pelindung muka.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan bolehlah berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.