Pelbagai sumbangan terus diterima

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Dalam sama-sama memainkan peranan, memberikan sokongan serta sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat, Persekutuan Persahabatan Brunei-Jepun (BJFA) telah menyumbangkan pelitup muka N95 dan kit ujian swab SARS-CoV2 yang bernilai $10,000 kepada Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, penyerahan sumbangan berkenaan telah diadakan di kementerian berkenaan di mana sumbangan diterima oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin daripada wakil negara bagi Negara Brunei Darussalam selaku wakil BJFA, Tadashi Hara.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa beberapa sumbangan cek bagi Tabung Bantuan COVID-19 turut diterima iaitu cek berjumlah $1,000 daripada warga Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, cek berjumlah $20,600 daripada Jabatan Perdana Menteri, cek berjumlah $150 daripada Jasmine Voon serta cek berjumlah $50,000 daripada Komuniti Kristian.

Kementerian Kesihatan juga menyatakan bahawa empat penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta menghulurkan sumbangan pada 23 September lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah Jiajia Company yang menyumbangkan pelindung muka; Rezeki Bahirah yang menyumbangkan air mineral, cawan plastik, serbuk pencuci dan sabun badan; OKKY Jewellery Sdn Bhd menyumbangkan gaun perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka serta Bismi Trading Sdn Bhd menyumbangkan katrij dan toner dakwat.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa orang ramai yang ingin untuk membuat sebarang sumbangan, boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Haji Maswadi semasa menerima sumbangan daripada Persekutuan Persahabatan Brunei-Jepun, kelmarin.
Sumbangan daripada Rezeki Bahirah.