Pelbagai syarikat terus tampil hulur sumbangan

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam menangani penularan pandemik COVID-19 di Brunei, syarikat-syarikat terus tampil ke hadapan menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada Kementerian Kesihatan dalam majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Bagi majlis yang berlangsung di Bilik Tetamu, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan, di sini, menyaksikan sumbangan diterima oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Awang Maswadi bin Haji Mohsin.

Pada majlis berkenaan, Brunei Shell Marketing (BSM) menyampaikan sumbangan berupa cek bernilai $13,608 serta 1,000 keping kupon yang diserahkan oleh Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil. Setiap kupon yang disampaikan itu bernilai $10 dan ia boleh digunakan sebagai diskaun semasa melakukan servis kereta di bengkel-bengkel kenderaan yang tertera pada kupon berkenaan, yang mana kupon berkenaan adalah khas untuk kakitangan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, sumbangan daripada KFC Brunei berupa cek bernilai $11,044.56 disampaikan oleh Pengurus Besar KFC Brunei, Ooi Tiat Huay. Sumbangan itu merupakan hasil kutipan daripada Kempen Kita Fight COVID-19 yang berjalan dengan jayanya dari 5 hingga 31 Mei lalu.

Kempen itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat KFC untuk menggalakkan orang ramai bersama-sama KFC mengumpul kutipan dengan menyumbang menerusi kotak-kotak derma yang diletakkan di kesemua cawangannya di mana jumlah keseluruhan kutipan akan dipadankan 1-untuk-1 oleh KFC. Di samping itu, dengan setiap pembelian Bargain Feast, sebanyak $0.50 juga didermakan.

Pengurus Besar KFC Brunei dipetik menyatakan bahawa Kempen Kita Fight COVID-19 dilancarkan sebagai satu cara untuk berdiri teguh bersama seluruh rakyat dan penduduk Brunei dalam sama-sama berusaha mengutip sumbangan dalam menangani COVID-19 di mana sumbangan itu akan dimanfaatkan oleh petugas barisan hadapan yang banyak berkorban dalam usaha menangani penularan pandemik COVID-19.

Sementara itu, dalam majlis yang berlangsung di Bilik VIP, Tingkat Bawah, Kementerian Kesihatan, sumbangan diterima oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Haji Abdul Khalid As’ari bin Haji Azahari. Sumbangan daripada Pizza Hut Brunei berupa cek bernilai $3,200 disampaikan oleh Eksekutif Kewangan, Dayangku Fathin Nabilah binti Pengiran Tejuddin. Manakala itu, sumbangan daripada Dairy Queen Brunei berupa cek bernilai $3,400 disampaikan oleh Eksekutif Pemasaran, Dayang Nur Faizah binti Ja’afar.

Sumbangan berkenaan merupakan sebagai tanggungjawab sosial korporat daripada pihak-pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani serta membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Awang Maswadi menerima sumbangan daripada Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee.
Pengurus Besar KFC Brunei menyerahkan sumbangan kepada Awang Maswadi.
Haji Abdul Khalid As’ari menerima sumbangan daripada Pizza Hut Brunei yang disampaikan oleh Dayangku Fathin Nabilah. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan