Pele dibenarkan pulang ke rumah

SAO PAULO, 15 SEPT – Pemain legenda Brazil, Pele (gambar) telah meninggalkan unit rawatan rapi di hospital terletak di Sao Paulo kelmarin selepas menjalani pembedahan tumor usus.

“Pesakit Edson Arates do Nasciemento berada dalam keadaan baik dan meninggalkan unit terapi intensif. Dia akan menjalani pemulihan di dalam bilik,” menurut kenyataan Hospital Albert Einstein.

“Saya semakin gembira setiap hari. Kita akan kembali bertemu!” tulis Pele menerusi Instragramnya sambil berterima kasih kepada peminat atas ‘pesanan prihatin mereka’.

Pada malam Isnin lalu, salah seorang anak perempuannya, Kely Nascimento, memberikan berita terkini mengenai kesihatan ayahnya di media sosial, disertakan dengan sekeping gambar menunjukkan pemain berusia 80 tahun itu tersenyum.

“Keadaannya bertambah baik selepas pembedahan, dia tidak lagi mengalami kesakitan dan dalam mod yang baik,” tulis Nasciemento.

“Dia akan dipindahkan ke bilik biasa pada esok hari atau lusa sebelum dibenarkan pulang.”
Tumor yang disyaki telah dikesan semasa rutin ujian, menurut pihak hospital, di mana Pele menjalankan rawatan sejak 31 Ogos lalu. – AFP