Pelekat inovatif panjangkan kesegaran buah-buahan

KUALA LUMPUR – Enggan lagi melihat buah-buahan dibazirkan akibat tidak tahan lama dan cepat rosak, seorang graduan dalam bidang Teknologi Maklumat berjaya mencipta label pelekat yang boleh memanjangkan tempoh kesegaran, dengan melindunginya daripada ancaman kulat dan penyakit.

Zhafri Zainuddin, 37, berkata label pelekat yang dinamakan ‘StixFresh’ itu adalah teknologi berasaskan pelekat inovatif, yang mampu memanjangkan jangka hayat hingga dua ke tiga kali lebih lama dengan cara semula jadi, bergantung kepada jenis buah-buahan.

“Idea tercetus hasil daripada pengalaman saya ketika terlibat dalam perniagaan menjual buah-buahan tempatan di Seremban.

“Ketika itu, saya kerap mengalami pembaziran dan kerugian disebabkan perlu menguruskan buah-buahan yang rosak dan tidak tahan lama,” katanya kepada Bernama.

Mengaplikasikan konsep menjana kekayaan daripada bahan buangan, Zhafri yang juga pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif StixFresh International Sdn Bhd yang bertapak di Senawang, Negeri Sembilan berkata label pelekat itu, menggunakan sebatian anti-mikroba secara semula jadi yang dihasilkan oleh tumbuhan-tumbuhan bertujuan untuk melindungi buah-buahan.

Pelekat inovatif Stixfresh boleh memanjangkan tempoh kesegaran buah-buahan dengan melindunginya daripada ancaman kulat dan penyakit. – Bernama

Katanya, bahan yang digunakan di dalamnya dikategorikan sebagai GRAS (Generally Recognized as Safe) yang mematuhi piawaian Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA), bahkan teknologi pelestarian kesegaran ini juga telah didaftarkan dengan ‘World Intellectual Property Organization’ (WIPO).

“Bagi saya, label pelekat tidak seharusnya digunakan sebagai dekorasi semata-mata dan teknologi ini dibangunkan bagi membantu pengguna dan industri, dalam mencari penyelesaian selaras dengan matlamat membantu mengurangkan pembaziran ‘from farm to fork’,” katanya.

Malah, Zhafri yang berasal dari Kuala Lumpur berkata proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi teknologi StixFresh, turut mendapat sokongan padu daripada Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Bukan mudah untuk membangunkan sesuatu teknologi dan ia memakan masa selama tiga tahun untuk menjadikan ia matang dan diterima di dalam pasaran, dan kami juga dalam fasa memohon ‘Strategic Research Fund’ daripada MOSTI.

“Kami juga sedang giat merangka peluang kerjasama dengan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia, bagi menambah nilai teknologi ini seterusnya memperkukuhkan lagi posisinya di pasaran tempatan dan global,” katanya.

Bagaimanapun, Zhafri berkata buat masa ini, label pelekat ini hanya boleh digunakan untuk beberapa jenis buah-buahan tempatan seperti mangga, betik dan buah naga.

Selain merancang meluaskan penggunaan teknologi ini kepada buah-buahan lain yang premium seperti ‘Japanese pear’ dan spesis Melon. – Bernama