Pelekat, kad lesen memandu kini melalui SMS

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Kaedah khidmat pesanan ringkas (SMS) akan menggantikan penggunaan pelekat lesen kenderaan dan kad lesen memandu ketika negara dibelenggu penularan jangkitan COVID-19.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) menjelaskan ia dibuat bagi memudahkan orang ramai mengemas kini lesen memandu dan lesen kenderaan tanpa perlu menunggu lesen memandu atau lesen kenderaan mereka siap diproses dan diterima.

Selain itu, kaedah tersebut sesuai dengan perancangan JPD ke arah transformasi digital.
Perkara itu adalah antara yang dijelaskan oleh Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saidon semasa sidang media di Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

“Alhamdulillah, sejak pengumuman dalam sidang media bagi perkara ini, belum ada sebarang tindakan penguatkuasaan yang diambil ke atas mana-mana pemandu.

“Bagi tujuan penambahbaikan, dengan mengambil kira maklum balas orang ramai, JPD ingin memaklumkan mengenai beberapa perubahan kepada isi kandungan pesanan ringkas kepada pemohon bermula pada 8 Oktober ini yang telah berjaya membaharui lesen kenderaan atau lesen memandu mereka,” jelas pengarah pengangkutan darat itu lagi.

Bagi lesen kenderaan, kandungan pesanan ringkas antara lainnya mengandungi bilangan kenderaan dan tempoh tarikh lesen kenderaan yang sah manakala, bagi lesen memandu pula pesanan ringkas antara lainnya mengandungi bilangan kad pintar, jenis kelas lesen dan tempoh sah laku memandu.

Sementara itu, bagi pemohon yang memiliki lebih dari satu kelas lesen memandu, pesanan ringkas akan dikeluarkan secara berasingan bagi setiap kelas memandu.

Menyentuh mengenai statistik permohonan pembaharuan lesen kenderaan dan lesen memandu, pengarah JPD turut mengongsikan setakat 5 Oktober lalu, pihak JPD telah menerima sebanyak 52,705 permohonan memperbaharui lesen kenderaan dan lesen memandu telah diluluskan sebanyak 92 peratus iaitu 48,464 permohonan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 31,371 permohonan telah diterima oleh pejabat pos untuk penghantaran atau pengambilan. 

Manakala 12 peratus iaitu 4,241 permohonan adalah tertunggak yang mana ia akan disasarkan untuk diselesaikan dalam masa satu bulan ini.

Sementara itu, permohonan TD123 disediakan sebagai alternatif kepada perkhidmatan dalam talian bagi orang ramai yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan dalam talian ataupun bagi perkhidmatan-perkhidmatan JPD yang lain.

Dalam memperbaharui lesen kenderaan dan lesen memandu, JPD menyeru orang ramai supaya akan dapat menggunakan dan menjadikan perkhidmatan dalam talian melalui portal gov.bn dan aplikasi TransportBN sebagai pilihan utama kerana permohonan secara dalam talian adalah lebih mudah dan cepat, terang Haji Rozaly lagi.

Turut dimaklumkan kepada orang ramai ialah mengenai satu daripada tiga talian tambahan yang dimaklumkan sebelum ini iaitu 2451982 telah mengalami kerosakan dan ketika ini, orang ramai boleh menghubungi talian 2451980 dan 2451984 semasa waktu bekerja.